Bermula pada 8 Julai sehingga 2 September 2018 yang lalu, telah berlangsung program pembangunan bola sepak akar umbi oleh Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) yang dikenali sebagai Kuala Lumpur Youth Football Fiesta (KLYFF) yang bertempat di KLFA Football Centre, Desa Melati.
Program pembangunan bola sepak akar umbi ini telah disertai oleh kanak-kanak yang berusia 8 hingga 16 tahun yang mewakili akademi bola sepak masing-masing dan bersaing untuk merebut 5 kejuaraan yang dipertandingkan; Piala Demam Piala Dunia, Liga Uniti, Piala Merdeka, Piala Juara Merdeka dan Piala Super Merdeka.
Kemuncak bagi program ini berlangsung pada 2 September lepas apabila berlangsungnya pusingan akhir dan majlis penyampaian hadiah kepada pemenang yang disempurnakan oleh Datuk Seri Adnan bin Mohd Ikhsan, Presiden KLFA dan En. Nokman bin Mustafa, Setiausaha Agung KLFA.
Dalam ucaptama penutup acara berkenaan, Datuk Seri Adnan sempat menzahirkan pandangan beliau mengenai arena bola sepak di Malaysia secara umumnya.
“Malaysia masih kekurangan pemain yang baik sehingga kita perlu mengimport pemain luar yang sejauh Brazil. Jesteru, usaha melatih dan mencungkil anak muda tempatan adalah amat penting.”
“Hari ini, dengan bermain bola sepak, ia dapat menjadi satu sumber pendapatan yang baik. Maka, usaha pembangunan bola sepak akar umbi seperti ini amat penting jika ingin melihat kemajuan dalam bidang bola sepak di Malaysia,” tambah Datuk Seri Adnan.
Turut hadir dalam acara tersebut adalah Cik Mastura binti Khalid, Timbalan Ketua Eksekutif PTPTN, selaku penaja utama bagi program pembangunan akar umbi bola sepak ini.
Fiesta bola sepak ini juga bertambah menarik dengan kehadiran pemain-pemain skuad utama Kuala Lumpur seperti Guilherme de Paula, Paolo Josue, Ashri Chucu dan kepten pasukan dan legenda bola sepak Malaysia, Indra Putra Mahayuddin yang turut mengambil peluang bergambar dan bermesra dengan peserta program ini.
Inisiatif yang baik dari Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur ini seharusnya menjadi contoh dan ikutan persatuan bola sepak lain kerana ia bukan sahaja mampu mencungkil bakat baru dari peringkat akar umbi, malah ia juga mampu mengukuhkan perpaduan sesama akademi bola sepak yang wujud di Malaysia.
Malah, ia juga menjadi platform untuk pasukan besar seperti Kuala Lumpur untuk turun padang dan bersama peminat-peminat skuad The City Boys, terutamanya yang masih kecil agar lebih memupuk rasa kecintaan kepada kelab dari usia muda.
KLYFF adalah sebuah program pembangunan bola sepak yang berjaya kerana ia bukan sahaja telah mencungkil ratusan bakat-bakat baru, termasuklah peserta perempuan berusia 8 tahun!
Tahniah kepada KLFA atas pengajuran acara seperti ini dan semoga ia akan terus dikekalkan demi membangunkan bakat-bakat baru bola sepak tempatan.