‘Kluster Anfield’ Antara Punca Peningkatan Mendadak Kes Kematian Di UK

Anfield

Dua acara sukan besar yang diadakan pada bulan Mac termasuk perlawanan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Anfield dikenalpasti sebagai punca kepada peningkatan kes jangkitan dan kematian disebabkan wabak COVID-19.

Menurut BBC, dapatan tersebut dikeluarkan oleh kumpulan saintis di yang mengetuai projek pengesanan punca jangkitan COVID-19 di United Kingdom (UK) melalui data yang dikumpulkan dari jutaan responden dan sukarelawan.

Hasil dapatan kajian, didapati perlawanan UCL antara Liverpool dan Atletico Madrid serta Festival Cheltenham menjadi ‘hotspot’ penyumbang terbesar kepada rantaian jangkitan wabak berkenaan.

Salah seorang saintis kumpulan tersebut, Professor Tim Spector menjelaskan dua acara sukan berkenaan telah menyebabkan kadar jangkitan dalam kalangan warga tempatan telah meningkat berkali ganda.

Kira-kira dua bulan lalu, acara sukan di UK masih berjalan seperti biasa sekalipun amaran mengenai ancaman COVID-19 telah pun dikeluarkan dan kebanyakan negara Eropah ketika itu telah mengambil tindakan meneruskan aksi secara tertutup tanpa kehadiran penonton.

Pada minggu pertama pada bulan Mac, semua perlawanan di England dan Scotland, lima acara lumba kuda masih dilangsungkan seperti biasa. Malah perlawanan Kejohanan Ragbi Enam Negara di Twickenhem di antara England dan Wales turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Borris Johnson sendiri.

Situasi berbeza di negara lain di mana Kejohanan Ragbi Enam Negara di Dublin, Ireland telah pun ditangguhkan sementara liga bola sepak dan perlumbaan Formula 1 di China turut ditangguh ekoran kebimbangan terhadap COVID-19.

Dalam perlawanan UCL di Anfield, kira-kira 3,000 penyokong Atletico Madrid membuat perjalanan dari ibu kota Sepanyol yang sudah pun dikenalpasti sebagai kawasan yang teruk terjejas dengan wabak berkenaan. Mereka dibiarkan bebas berkunjung ke bar, restoran serta tempat-tempat lain di Liverpool.

Seorang penyokong Liverpool, Joel Rookwood yang telah pun sah positif COVID-19 dan menderita penyakit tersebut selama lapan minggu percaya beliau mula dijangkiti pada pertang perlawanan tersebut berlangsung.

Beliau masih ingat bagaimana mereka yang hadir di stadium berlaku sentuhan fizikal yang ketara dengan penyokong saling berpelukan dan melompat di antara satu sama lain ketika meraikan jaringan.

Sebelum ini Pengarah Kesihatan Pihak Berkuasa Tempatan Liverpool, Mathew Ashton telah memberitahu akhbar Guardian bahawa pihaknya sudah pun menyarankan agar perlawanan tersebut sepatuntnya dibatalkan.

Datuk Bandar Madrid, Jose Martinez-Almeida pula berkata adalah satu kesilapan besar untuk membenarkan ribuan penyokong Atletico Madrid hadir ke Anfield untuk menyaksikan perlawanan berkenaan.

“Tidak masuk akal 3,000 penyokong Atletico boleh berkunjung ke Anfiled pada waktu itu,” kata Martinez-Almeida kepada stesen radio Sepanyol, Onda Cero.

Dalam satu kenyataan, Menteri Kewangan UK, Rishi Sunak menolak tuduhan yang mengatakan kerajaan terlalu lambat membatalkan pertandingan-pertandingan sukan termasuk yang masih diteruskan beberapa hari sebelum perintah berkurung dikuatkuasakan.

Menurutnya kerajaan, terdapat banyak faktor lain yang menyumbang kepada peningkatan mendadak jumlah kes seperti kepadatan populasi di sesebuah kawasan, umur, keadaan kesihatan dan sebagainya.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai perkembangan COVID-19:

Leave a Reply