Kecemerlangan Mohamed Salah yang meledakkan hatrik pada perlawanan pembukaan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2020/21 bertemu pendatang baharu, Leeds United awal pagi tadi nyata menggembirakan pengurus pasukan, Jurgen Klopp.
Pengendali kelahiran Jerman itu juga mengharapkan agar pemenang kasut emas EPL 2018/19 tersebut dapat mengekalkan prestasi cemerlangnya bagi membantu Liverpool menghadapi musim ini.
Pada perlawanan yang berlangsung di Anfield itu, jaringan hatrik Salah telah berjaya menyerap tekanan hebat diberikan Leeds United dalam usaha mereka untuk mencipta kejutan terhadap juara bertahan tersebut.
”Pertama, tahniah buatnya kerana dia merupakan seorang pemain yang sangat istimewa, pemain yang sangat istimewa,” ujar Klopp menurut laporan Goal.
”Jumlah [jaringannya] telah menceritakan sedikit, selebihnya anda mungkin tidak tahu. Tetapi hari ini merupakan contoh terbaik di mana dia menjaringkan tiga gol dalam senarai jaringannya.”
”Tetapi persembahannya secara keseluruhan sangat luar biasa dalam perlawanan seperti ini.”
”Jadi, dia sangat berhak untuk mendapatkan jaringan tersebut, 100 peratus, ya dengan dua sepakan penalti, satu jaringan menerusi penyudah yang sensasi, tetapi dia berhak mendapatkan jaringan tersebut kerana dia selalu hadir bagi menyebabkan pemain lawan berada dalam masalah besar.”
”Dia sangat hebat dalam situasi satu lawan satu. Dengan semua aksi baik dipamerkan buat pasukan, jelas ini adalah salah satu daripada persembahan baik daripadanya dan dia seharusnya berbangga kerana sangat istimewa untuk mendapatkan jumlah tersebut. Diharapkan ia akan berterusan.”
Tugas berat bakal menanti The Reds pada minggu hadapan apabila bakal bertemu Chelsea untuk perlawanan kedua yang berlangsung di Stamford Bridge.
Kredit featured image: Facebook rasmi Liverpool FC
Baca artikel lain dari kami mengenai Mohamed Salah: