Pengurus Liverpool berpendapat kritikan yang dilemparkan kepada ketua pasukan kendaliannya itu, Jordan Henderson sebagai tidak berasas sama sekali.
Prestasi pemain tengah berusia 27 tahun yang kembali beraksi selepas berehat panjang pada musim lalu akibat kecederaan dikritik oleh sebahagian daripada penyokong Liverpool sendiri.
Liverpool berada dalam prestasi tidak menentu selepas mencatatkan hanya satu kemenangan dari 5 perlawanan terakhir dalam semua pertandingan.
Kemenangan 3-2 ke atas Leicester pada hujung minggu lalu melegakan Klopp, namun tidak cukup meyakinkan sebahagian besar penyokong mereka.
Dan untuk kritikan terhadap Henderson, pengurus berbangsa Jerman itu berpendapat ia adalah tidak berasas.
Klopp berpendapat bahawa Henderson menjalankan tugasnya sebagai seorang kapten, namun pemain kelahiran Sunderland itu tidak akan lari daripada melakukan kesilapan memandangkan beliau juga masih manusia biasa.
Klopp dipetik sebagai berkata seperti yang dilaporkan oleh Liverpool Echo:
“Ia tidak masuk akan sama sekali. Kritikan? Saya tidak faham mengapa ia harus begitu.”
“Hendo adalah pemain yang bertanggungjawab ketika beraksi bersama Liverpool atau pun untuk England. Beliau juga adalah seorang pemain yang pengalaman.”
“Namun Henderson juga masih seorang pemain dengan usia yang baik untuk meneruskan peningkatan.”
“Malangnya bagi sesetengah pihak, apabila anda mendapat lilitan kapten, maka ia juga bermakna anda harus tampil sempurna. Atau anda perlu biarkan pemain lain menjalankan tanggungjawab sebagai kapten,” jelas Klopp mengulas kritikan segelintir penyokong terhadap kaptennya itu.
Musim ini merupakan musim ketujuh Henderson bersama Liverpool selepas melengkapkan perpindahan dari Sunderlang pada 2011. Sehingga kini, Jordan Henderson telah tampil di dalam 248 perlawanan untuk Liverpool.
Henderson turut menjaringkan sejumlah 24 gol dan menghasilkan 39 bantuan gol dalam semua pertandingan untuk kelab Merseyside yang berpengkalan di Anfield itu.
Jordan Henderson mengambil alih peranan sebagai kapten daripada Steven Gerrard pada akhir kempen 2014-15 ketika era Brendan Rodgers. Ketibaan Jurgen Klopp tidak mengubah kedudukan Henderson, malah pengendali dari Jerman itu terus memberi kepercayaan kepada Henderson untuk memainkan peranan sebagai kapten.
Liverpool beraksi tanpa khidmat Henderson hampir separuh daripada kempen pada musim lalu, dan menduduki tangga ke-4 liga selepas bermula cemerlang ketika Henderson beraksi.
Sumber:
1. Mohammed Moallin, Squawka (2017): Jordan Henderson criticism “makes no sense” to Liverpool boss Jurgen Klopp; http://www.squawka.com/news/henderson-criticism-makes-no-sense-to-liverpool-boss-jurgen-klopp/993990#gESbtI4g5WUCMgz0.99