Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp memuji aksi cemerlang ditampilkan penjaga gol muda, Caoimhin Kelleher ketika membantu The Reds menumpaskan Ajax 1-0 pada perlawanan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2020/21 yang berlangsung awal pagi tadi.
Kelleher mendapat peluang untuk membuktikan kualitinya selepas penjaga gol utama, Alisson Becker mengalami kecederaan hamstring dan ia nyata tidak disia-siakan penjaga gol kelahiran Ireland itu.
Perlawanan di Anfield itu menyaksikan Kelleher berjaya menyelamatkan empat peluang terbaik yang dijelmakan oleh anak buah Erik ten Hag tersebut.
Sehubungan dengan itu, Klopp menjelaskan sebab beliau lebih memilih untuk menurunkan Caoimhin Kelleher berbanding penjaga gol kedua, Adrian.
”Terbaik, terbaik, terbaik [merujuk kepada prestasi yang dipamerkan Kelleher],” ujar Klopp menurut laporan Goal.
”Inilah situasinya, di mana saya harus katakan, mudah untuk saya memilih Caoimhin [di kesebelasan utama] kerana dia memang berhak mendapatkannya.”
”Tetapi amat sukar buat saya untuk meninggalkan Adrian kerana dia bermain dengan sangat bagus buat kami. Dia banyak melakukan ‘clean sheets’, musim yang hebat pada tahun lalu, perlawanan akhir Piala Super dan sebagainya.”
”Dia melakukan tugasan dengan sangat baik, tetapi kami memerlukan pakej dimiliki Caoimhin dan dia merupakan bakat yang hebat, seorang penjaga gol yang sangat bagus dan pemain hebat, jadi saya menyukainya.”
”Kami memerlukannya untuk menekan Ajax, kami memerlukan hantaran darinya ke bahagian tengah. Sangat baik, tetapi sudah tentu pada akhirnya yang penting ialah bagaimana dia menyelamatkan pintu golnya dari dibolosi.”
”Saya cukup yakin dia akan tidur dengan sangat nyenyak tetapi jika tidak sekalipun, sudah tentu dia akan menikmati kedua-duanya,” tambah Jurgen Klopp lagi.
Kredit featured image: Richard Sellers/Soccrates/Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Liverpool: