Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp telah didakwa oleh badan bola sepak England, Football Association (FA) selepas tindakan beliau berlari ke arah padang untuk meraikan gol kemenangan minit akhir Liverpool ketika menentang Everton di Anfield.
Pengurus yang dikenali dengan emosi dan semangat itu bertindak berlari ke arah padang, sebelum memeluk penjaga gol, Alisson selepas gol kemenangan Divock Origi dalam perlawanan Meseyside derbi pada Ahad lalu.
Mohon maaf
Liverpool menang perlawanan tersebut dengan jaringan 1-0 untuk kekal mengekori rapat Manchester City yang mendahului liga dengan perbezaan dua mata.
Menyedari tindakan beliau selepas itu, Klopp kemudiannya melakukan permohonan maaf atas tindakan beliau. Namun pengurus dari Jerman itu perlu memberi respon bertulis kepada The FA selewat-lewatnya pada Khamis ini.
“Saya harus meminta maaf, kerana saya tidak berniat untuk tidak menghormati lawan. Saya betul-betul gagal mengawal diri.
“Jika saya dapat menjelaskan perasaan saya ketika jaringan tersebut dilakukan – sudah tentu saya juga boleh mengelak daripada berkelakuan sedemikian. Namun ia telah terjadi.
Tiada isu
Di sebalik pendakwaan oleh The FA, rakan sejawat Klopp di Everton, Marco Silva berkata beliau tidak mempunyai isu dengan cara Klopp meraikan gol tersebut.
“Saya tidak melihat reaksi sebagai keterlaluan. Jika kami bernasib baik dan pemain kami menjaringkan gol sebegitu rupa, saya juga mungkin akan melakukan perkara yang sama,” ujar Silva.
“Saya sama sekali tidak melihat bagaimana Klopp tidak mengormati kami di situ,” tambah pengendali dari Portugal itu.
Pengurus Manchester City, Pep Guardiola pula dalam komen beliau menyifatkan tindakan Klopp adalah disebabkan emosi namun memahami mengapa pengurus Liverpool itu bertindak sedemikian.