Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp terus bermain perang psikologi selepas beliau menegaskan bahawa pesaing terdekat, Manchester City merupakan pasukan terbaik di dunia.
Meskipun skuad bimbingannya berjaya meraih kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah musim lalu, pengendali kelahiran Jerman itu masih beranggapan The Cityzens lebih baik berbanding pasukannya.
Pada ketika ini, Liverpool masih unggul ditangga teratas saingan domestik [Liga Perdana Inggeris] hasil lima kemenangan dicatatkan manakala City pula baru sahaja ditumbangkan Norwich City.
”Kami [Liverpool] tidak boleh menjadi pasukan terbaik di Eropah kerana Manchester City adalah pasukan terbaik di dunia. Ia daripada planet yang sama saya rasa.”
”Kami tidak bercakap tentang menjadi juara bertahan Liga Juara-Juara Eropah. Sehingga Sabtu lalu kami benar-benar memberikan fokus pada perlawanan menentang Newcastle dan semalam kami mengadakan sesi [latihan] dan hari ini ada satu lagi.”
Dalam pada itu, menjelang aksi menentang Napoli, Klopp tidak melihat status sebagai juara bertahan menganggu pasukannya.
”Para pemain akan melihat pertemuan pada pagi esok dan mereka perlu terus belajar. Kami telah melihat pada musim lalu. Napoli sebuah pasukan yang kuat. Saya sangat suka untuk menyaksikan mereka.”
“Kami tidak merasakan tekanan sebagai juara bertahan, kami sudah lama memenanginya. Sekiranya pasukan lain akan bermain secara berbeza menentang kami? Saya tidak pasti.”
”Saya tidak pernah memenangi Liga Juara-Juara Eropah sebelum ini, saya berharap kami sudah bersedia untuk itu.”
Liverpool bakal memulakan cabaran untuk mengekalkan kejuaraan yang dimenangi musim lalu dengan aksi menentang Napoli di Stadio San Paolo pada awal pagi esok.