Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa mengesahkan pihaknya telah menerima 5 permohonan untuk mengisi jawatan Ketua Jurulatih bagi menggantikan Yusri Che Lah yang telah letak jawatan semalam.
Katanya, dua jurulatih tempatan dan tiga jurulatih dari luar negara berminat untuk melatih skuad warga kota itu termasuk Fabio Maciel yang telah membimbing Kuala Lumpur dalam saingan Liga Super musim lepas.
Maciel pernah membimbing Kuala Lumpur pada 2017 sebelum direhatkan KLFA, September lalu, dan sepanjang tempoh itu, dia berjaya membantu The City Boys menjuarai Liga Premier. Disebabkan faktor kewangan dan buat sementara waktu, pembantu jurulatih, Chong Yee Fatt akan menggantikan tempat Yusri.
Malah, Nokman juga tidak menolak kemungkinan Fabio Maciel akan kembali menyertai Kuala Lumpur dan sedang menunggu persetujuan melibatkan bayaran gaji daripada kedua-dua pihak.
“Sebaik sahaja Kuala Lumpur tumpas 2-3 kepada Selangor di laman sendiri, semalam, KLFA menerima lima permohonan daripada jurulatih dalam dan luar negara. Dua daripadanya jurulatih tempatan.
“Benar, kami telah mengadakan rundingan bersama Fabio dan kini sedang menunggu persetujuan berkenaan gaji,” katanya dalam Utusan Malaysia.
Sementara itu, Yusri Che Lah menjelaskan beliau meletakkan jawatan selepas merasakan perlu bertanggungjawab di atas kegagalan pasukan KLFA mencipta sebarang kemenangan setakat ini dalam saingan Liga Super.
“Terima kasih kepada KLFA. Pemain telah berusaha, tetapi, kemenangan belum menyebelahi kami. Keputusan ini diambil bukan disebabkan desakan penyokong tetapi keprihatinan saya kepada majikan,” katanya.
Beliau juga menafikan dirinya diboikot oleh pemain import Kuala Lumpur sehingga beliau mengambil tindakan drastik tersebut. Yusri menyertai skuad Warga Kota musim ini dengan keadaan yang kurang sempurna.
“Sejujurnya, saya tidak pernah berasakan ada pemain ini yang membunuh saya. Ia tidak pernah ada dalam kamus hidup saya.
“Saya sudah berjanji dengan Allah, jika saya berlaku jujur dengan manusia, manusia juga akan berlaku jujur dengan saya. Seandainya ada perkara itu, biarlah sesiapa juga yang melakukannya berdepan dengan Yang Maha Esa.
“Bagi saya, perkara itu tidak pernah terjadi,” katanya dalam Stadium Astro.