Perlawanan minggu kedua berakhir dengan perlawanan di antara Shah Alam United FC atau SA United menentang Gombak Klasiko FC di Stadium Panasonic, Shah Alam. Kedua-dua pasukan masih memburu kemenangan pertama mereka.
SA United, dipimpin oleh pengurus berkaliber, Nadzry Abu Bakar, memilih untuk bermain dengan formasi 4-2-3-1.
Barisan penyerang SA United diketuai oleh Azeez Akeem Yemi, penjaring terbanyak bagi SA United setakat ini, diikuti dengan Naim Mukhtar yang bermain di posisi attacking midfielder, bersama MAzlan Mohamad di bahagian sayap kanan manakala Khairi Yousef di sayap kiri.
Klasiko FC, di bawah pimpinan Khairil Anuar, bermain dengan formasi 4-5-1, meletakkan Azhar Aizat sebagai penyerang utama, diikuti dengan Amir Safuan di sayap kanan, Muhd Azery di posisi tengah dan Abdul Hakim di sayap kiri.
Pada separuh masa pertama, Klasiko nampak lebih selesa mengawal bola di bahagian tengah dan pergerakan mereka lebih kemas berbanding SA United.
Kedua-dua pasukan ada mendapat peluang-peluang biasa pada 10 minit pertama yang mudah dikendalikan oleh penjaga gol masing-masing, tetapi Klasiko yang berjaya membolosi gawang SA United dahulu menerusi jaringan Azhar Aizat pada minit ke-14.
SA United menyamakan jaringan apabila dihadiahkan sepakan percuma.
Sekali lagi, Akeem menjadi punca kepada gol SA United apabila sepakan percuma dari Akeem ditepis oleh penjaga gol Klasiko dan bola muntah tersebut dirembat masuk oleh Naim Mukhtar yang sudah bersedia di dalam kotak untuk menerpa sebarang kesalahan penjaga gol.
Bermula separuh masa kedua, SA United mula mendapat rentak mereka. Walau bagaimanapun, SA United kelihatan terlalu bergantung kepada Akeem. Banyak serangan-serangan SA United bermula dengan pergerakan yang dibuat oleh Akeem.
Klasiko tetap nampak lebih selesa pada separuh masa kedua apabila menyerang. Terdapat beberapa insiden di mana Klasiko meminta penalti apabila pemainnya dikasari tetapi tidak diberikan. Perlawanan tamat dengan keputusan 1-1.
Statistik perlawanan