KL City League bersambung dengan liga kini sudah memasuki minggu ke-4 perlawanan.
Minggu ke-4 bagi saingan liga ini adalah cukup signifikan kerana kesemua pasukan bertanding boleh melakukan perpindahan pemain sehingga 17 Julai 2019.
Selain daripada itu, berita buruk buat pasukan Okami FC yang terpaksa menarik diri daripada saingan liga atas masalah teknikal.
Namun begitu, liga terus berjalan dengan aksi melibatkan Thai Selangor dan Damansara Bulls menjadi perhatian.
Kedua-dua pasukan mempamerkan aksi yang seimbang sepanjang perlawanan namun hanya Thai Selangor yang berjaya mendapatkan jaringan gol.
Kelewatan Damansara Bulls mendapatkan rentak dalam perlawanan ini jelas terhukum apabila mereka memboloskan 2 gol awal.
Thai Selangor mendahului seawal pada minit ke-2 menerusi jaringan Kayembe Arcel selepas berjaya mencuri bola dari pertahanan Damansara Bulls.
3 minit kemudian, Kyambadde Rashid melompat tinggi untuk melakukan tandukan bagi menyudahkan hantaran lintang dari sebelah kanan untuk meletakkan Thai Selangor selesa 2 gol tanpa balas.
Kedudukan itu kekal sehingga tamat permainan.
Dalam satu lagi aksi, FC Pirates mengutip 3 mata dalam perlawanan menentang KTKSI dengan jaringan besar 5-0.
Jung Yun Jae meletakkan FC Pirates dihadapan dengan gol pada minit ke-12 sebelum Amirul Aswad menggandakan jaringan pada minit ke-19.
Haris Ismail melebarkan jurang perlawanan kepada 3 gol dengan penyudah pada minit ke-39.
Di separuh masa kedua, FC Pirates menambah 2 lagi jaringan menerusi Zulkifli Ishak dan Mulero Ibrahim masing-masing pada minit ke-66 dan 70.
Berikut merupakan 2 lagi keputusan lain untuk minggu ke-4:
- Rebel 0-2 Expected Toulouse (Muhd Sudir [Gol Sendiri] 24′, Wong Kah Heng 62′)
- BOSS 0-0 Dekays Ox
*KL Galaxy tidak beraksi pada minggu ini