Petang ini Malaysia akan sekali lagi menghadapi perlawanan kedua bagi saingan Piala AFF peringkat kumpulan menentang Laos.
Setelah menepati ramalan untuk mencatat kemenangan pertama sebelum ini, Malaysia tampak bermotivasi untuk memburu kemenangan kedua sekaligus mengukuhkan posisi sebagai juara kumpulan.
Berikut ada lima sebab mengapa Malaysia bakal memenangi perlawanan petang ini keatas pasukan lawan.
Pemain berpengalaman
Malaysia mempunyai beberapa pemain berpengalaman yang sudah beraksi di pelbagai kejohanan luar yang memberi kelebihan untuk menghadapi lawan yang dilihat mempertaruhkan lebih ramai muka baharu.
Walaupun lawan mempunyai penyerang Billy Ketkeophomphon dari Perancis yang mempunyai darah daripada negara mereka sendiri, rata-rata pemain lain tidak banyak pengalaman menentang kejohanan luar dan masih muda.
Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Syahmi Safari, dan Syafiq Ahmad antara nama yang sudah dikenali serta berpengalaman walaupun masih muda serta kita mempunyai Luqman Hakim yang turut beraksi di liga luar negara.
Reputasi jurulatih yang lebih bagus
Tan Cheng Hoe bukanlah satu nama asing dalam arena bola sepak. Sebagai jurulatih tempatan, beliau lebih mengenali karakter pemain dan yakin untuk menurunkan mana-mana pilihan beliau sendiri.
Walaupun sering kali dikritik atas dasar pemilihan pemain dan corak permainan yang agak menggusarkan para penyokong, tetapi rasanya bertemu Laos bukan satu masalah besar rasanya buat Cheng Hoe.
Rakan sejawat, V. Selvaraj pula sudah berada di Laos sejak 2019 lagi untuk skuad pembangunan B-15 tahun Laos sebelum tahun ini diangkat menjadi jurulatih utama.
Tekanan pastinya hadir buat beliau dalam mengendalikan pasukan yang lebih senior biar pun beliau membawa ramai muka baharu kali ini dalam skuad.
Motivasi pasukan
Malaysia yang masih segar dengan kemenangan ke atas Kemboja sebelum ini pastinya hadir dengan motivasi yang sangat tinggi dipamerkan oleh para pemain untuk meratah pasukan lawan.
Manakala Laos pula pastinya dalam tekanan setelah tewas ke atas pasukan Vietnam dan petang ini bakal menghadapi satu lagi lawan yang juga menjadi pilihan untuk saingan Piala AFF.
Tiada cara lain, Laos perlu berdepan Malaysia yang menjulang semangat mereka setakat ini dengan 1001 cara untuk mengelakkan diri daripada terus terperosok kedudukan ke dasar kumpulan B.
Pemain kunci yang lebih ramai
Malaysia mempunyai pemain yang lebih ramai sebagai kunci dalam memburu kemenangan atau menguba keputusan perlawanan.
Jika Safawi Rasid tidak menjadi, masih ada lagi Arif Aiman Hanapi yang juga mempunyai kekuatan yang baik dalam mengimbangi skuad utama.
Begitu juga di barisan pertahanan, jika Rizal Ghazali tidak dapat diturunkan, masih ada Quentin Cheng yang sangat konsisten pada tahun ini untuk digantikan.
Skuad utama dan juga simpanan masing-masing tidak begitu berbeza dan sedia untuk diturunkan dengan pilihan pemain kunci yang ramai.
Skuad Laos mempunyai masalah dalam hal ini. Kunci utama skuad mereka terarah kepada Billy dalam mencari gol. Dalam barisan simpanan rata-rata adalah pemain muda dan tiada kestabilan yang baik bagi menggantikan pemain utama untuk meninggalkan impak.
Hal ini kita dapat lihat ketika perlawanan mereka bertemu Vietnam lalu, barisan simpanan yang dibawa masuk gagal untuk menghidupkan skuad dengan lebih baik malah lebih teruk dibuli oleh lawan atas padang.
Kita ada De Paula!
Sukar diakui namun inilah hakikat yang perlu ditelan oleh pasukan Laos. Kita mempunyai pemain serangan naturalisasi Guilherme De Paula yang lebih baik dari aspek fizikal dan pengalaman.
Walaupun gagal menjaringkan gol pada perlawanan pertama, kelibat pemain ini dilihat beraksi dengan agak bagus untuk mengelirukan pertahanan lawan dengan gerakan licik serta menjadi umpan yang bagus untuk membuka ruang buat pemain lain.
Kelibat beliau jika diturunkan mungkin akan menjadi igauan ngeri buat pertahanan Laos yang dilihat tidak mempunyai fizikal yang setara De Paula untuk menjaga pemain ini.
Situasi sepakan sudut dan sepakan percuma pastinya menjadi aset fizikal dan pengalaman yang ada pada beliau untuk memburu gol.
3 mata dalam tangan
Berdasarkan 5 sebab kami beri sebentar tadi, rasany Malaysia tidak begitu berhadapan keadaan sukar untuk memenangi perlawanan petang ini.
Namun seperti apa yang dikatakan Cheng Hoe, setiap pemain wajar memberi fokus yang penuh dan tidak menganggap mana-mana pasukan sebagai tidak begitu serius untuk dihadapi.
Segalanya bergantung kepada bagaimana pemain sendiri dalam menterjemahkan apa yang jurulatih sampaikan sewaktu latihan serta fokus diri sendiri dalam permainan.
Jika tiada sebarang masalah, rasanya kemenangan kedua akan diterjemahkan oleh Harimau Malaya petang ini di Stadium Bishan buat rakyat Malaysia.