“Ada Kejutan Untuk Malaysia”, 3 Perkara Yang Sukarkan Malaysia Raih Kemenangan

Selvaraj Laos Malaysia Piala AFF 2020

Apabila melihat Vietnam bergelut mencari ruang untuk menjaringkan gol saat berdepan Laos, apa pula nasib Malaysia pada aksi kedua peringkat Kumpulan B, Piala AFF Suzuki 2020 berdepan lawan yang sama, petang ini?

Anak buah Park Hang-seo yang memiliki pendedahan luas di pusingan akhir kelayakan Piala Dunia 2022 pun bergelut dengan hanya mampu mencipta enam percubaan tepat sepanjang aksi.

Mereka menguasai sepenuhnya perlawanan dengan 76 peratus penguasaan, namun disiplin bertahan Laos menyesakkan mereka. Mereka terpaksa membuat percubaan jarak jauh untuk memecah blok pertahanan.

Jadi, ini adalah tiga perkara yang mungkin sukarkan Malaysia untuk raih tiga mata untuk aksi kedua petang ini.

“Ada ‘kejutan’ untuk Malaysia”

Pengendali Laos, V. Selvaraj dalam sidang media pra perlawanan menyatakan yang beliau ada ‘kejutan’ untuk Malaysia dalam perlawanan lewat petang ini. Ujarnya, “Anda akan lihat esok apa yang kami ada untuk Malaysia.”

“Sama ada anda terima atau tidak, saya ada rancangan saya dan saya tahu kekuatan pasukan kerana setiap hari saya bersama pemain dan saya tahu kualiti mereka,” tambahnya lagi yang memburu kemenangan pertama.

Laos tewas 0-2 kepada juara bertahan, Vietnam dalam aksi pertama mereka. Walaupun mereka jarang sekali mengasak ke kubu Vietnam, ada detik-detik serang balas yang mereka mampu cipta ke pertahanan lawan.

Rantaian 9 pemain ketika bertahan

Laos hanya menyerang lawan melalui serangan balas pantas. Ini kerana mereka akan membentuk kubu ‘kebal’ dengan meletak hampir semua pemainnya di benteng ketika Vietnam menyerang sehingga memaksa Golden Dragon membuat hantaran lambung ke dalam kotak penalti atau percubaan jauh dari luar kotak penalti.

Hanya penyerang kacukan, Billy Kekeophomphone diletakkan di atas ketika mereka ditekan lawan. Dengan ketinggian dan kemampuannya yang ‘mobile’, beliau diharapkan untuk menjadi fokal serangan ketika Laos mencatur asakan ke kubu lawan. Penjaga gol muda, Keo-Oudone Souvannasangso juga tampil cemerlang.

Beliau telah membuat sekurang-kurangnya empat aksi menyelamat dan menafikan peluang boleh gol Vietnam.

Jangan lupa tragedi Sukan SEA 1997

Sikap cepat berpuas hati atau rasa lebih hebat boleh memakan diri. Skuad kebangsaan yang dibarisi bintang pada Sukan SEA 1997 pernah melalui pengalaman dimalukan Laos. Siapa pemain di era tersebut? Penjaga gol terbaik negara, Khairul Azman Mohamed, Dollah Salleh dan Azman Adnan adalah antara pemainnya.

Malaysia tersingkir awal di peringkat kumpulan apabila menamatkan saingan kumpulan di kedudukan kedua tercorot daripada lima pasukan dengan enam mata. Selepas menang dua aksi awal ke atas Vietnam dan Filipina, Malaysia dikejutkan Indonesia, tewas 0-4 dan diikuti Laos dengan kekalahan 0-1 di minit akhir.

Malaysia boleh belajar daripada kekalahan tersebut dengan bermain sepenuh hati dan tidak mensia-siakan peluang dimiliki. Diharapkan jentera serangan yang dibentuk untuk aksi ini mampu merobek gawang Laos.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN