Kisah Pengadil Piala Malaysia Kena Hambat Selepas Gagal Kawal Perlawanan

Sekiranya mutu pengadilan di Liga Malaysia mahu diungkit satu persatu, sudah pasti kita hanya akan menemukan deretan insiden yang tidak sepatutnya berlaku, dan ceritanya panjang.

Kisah mutu pengadilan yang boleh dipertikaikan bukan sahaja berlaku pada musim ini, malah turut telah berlaku sejak dari dulu lagi.

Pelbagai inisiatif telah diambil oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk memartabatkan mutu dan kerjaya pengadil di negara ini. Namun masalah pengadilan di negara ini tiada kesudahan.

Realitinya, pengadil juga manusia biasa seperti anda dan saya. Bukanlah mahu menyalahkan pengadil seperti sengaja melakukan kesilapan, namun beberapa keputusan oleh pengadil adakalanya begitu ketara seolah-olah sengaja mengudang kontroversi.

Pengadil Terengganu FC vs JDT

Itulah juga yang berlaku dalam perlawanan di antara Terengganu dan JDT di separuh akhir pertama Piala Malaysia pada malam tadi.

Pengadil utama perlawanan Tuan Ahmad Yassin dikritik teruk oleh setiap pemerhati yang menyaksikan perlawanan ‘panas’ tersebut apabila dilihat gagal mengawal perlawanan dengan baik terutamanya dalam memberikan hukuman terhadap pemain yang bertindak kasar dan tidak profesional.

Beberapa insiden kekasaran dan takel keras melibatkan pemain daripada kedua-dua pasukan yang seolah-olah ‘ditutup mata’ oleh beliau dalam perlawanan ini.

Palinhg ketara ialah insiden pada minit ke-70 perlawanan melibatkan pemain pertahanan, Shane Lowry. Beliau begitu jelas melakukan kekasaran terhadap Jordan Mintah yang sudah pun terjatuh.

Pemain dari Australia itu kemudian menolak penjaga gol Terengganu, Suhaimi Husin yang menariknya untuk meleraikan pergaduhan.

Kejadian kedua pula melibatkan Natxo Insa yang bertindak menyepak bola selepas wisel dibunyikan. Mengikut peraturan, tindakan ‘tidak sporting’ seperti itu wajar diberikan kad kuning.

Pengadil bagaimanapun memilih untuk berdiam diri apabila berdepan pemain ini dan sekadar memberi amaran sahaja.

Kejadian pada 2018

Apa yang berlaku dalam perlawanan membabitkan Terengganu dan JDT pada malam tadi mengingatkan kami kepada ‘perlawanan panas’ Piala Malaysia pada 2018.

Dalam perlawanan yang berlanjutan sehingga ke masa tambahan itu, pengadiil perlawanan, Suresh Jayaraman dilihat gagal mengawal perlawanan dengan baik apabila banyak keputusan yang dibuat mencetuskan kemarahan pemain, jurulatih dan juga penyokong yang membanjiri stadium.

Paling mengejutkan keputusan Suresh mengarahkan Gilmar da Silva keluar padang dengan melayangkan kad kuning kedua pada minit ke-56 selepas insiden pergaduhan pemain di kawasan sepakan penjuru Terengganu.

Ia berpunca daripada keengganan pemain Perak mengeluarkan bola selepas ada pemain Terengganu mengalami kecederaan sehingga menyebabkan terjadinya insiden tolak menolak antara pertahanan skuad Peteh, Igor Zonjic dan pemain sayap Bos Gaurus, Firdaus Saiyadi.

Insiden itu mencetuskan perbalahan di antara pemain kedua-dua pasukan sebelum dileraikan pegawai perlawanan dan pada akhirnya Suresh ‘memilih’ Gilmar untuk dibuang padang.

Selang 10 minit kemudian tiba giliran awang import Terengganu, Lee Tuck pula dilayangkan kad kuning kedua biarpun sebelum itu beberapa kali terlepas daripada hukuman angkara terjahan dan kekasaran di bahagian tengah padang.

Bukan itu saja, beberapa keputusan lain Suresh turut dipersoalkan termasuk membiarkan pemain kedua-dua pasukan melakukan terjahan keras tanpa mengenakan sebarang amaran atau melayangkan kad.

Kualiti Pengadilan Final Piala Malaysia 2018 Sangat Mengecewakan

Dianggap menampilkan mutu pengadilan buruk dalam perlawanan tersebut, nama Suresh Jayaraman mulai terkenal dan menjadi sebutan peminat bola sepak tempatan, namun ia datang dengan reputasi buruk yang pasti mahu dilupakan oleh beliau.

Pernah kena hambat

Jika tidak cukup dengan pengalaman di pertandingan Piala Malaysia, Suresh juga pernah melalui mimpi ngeri apabila diserang oleh pemain dan pegawai sebuah pasukan bola sepak ketika mengadili perlawanan bola sepak Liga Sosial.

Kejadian dipercayai berlaku di perlawanan akhir Selangor Champions League pada Disember 2019 di Stadium Shah Alam.

Perlawanan akhir Selangor Champions League 2019, menemukan pasukan Kuala Selangor Batu Dua FC dan Kingstown Klang FC.

Perlawanan tersebut terpaksa dihentikan pada minit ke-63 perlawanan selepas kontroversi dan insiden yang berlaku.

Kingstown Klang FC yang ketinggalan 0-4 pada ketika itu terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas bekas pemain profesional, Abdul Manaf Mamat dilayangkan kad merah susulan kekasaran yang dilakukan terhadap pengadil perlawanan, Suresh Jayaraman.

Perkara itu membuatkan kem Kingstown Klang FC berang dengan tindakan pengadil.

Aksi yang bersambung semula selepas itu menyaksikan pemain Kingstown FC beraksi dalam keadaan penuh emosi, sehingga memaksa pengadil melayangkan satu lagi kad merah kepada seorang lagi pemain Kingstown.

Keadaan itu menyebabkan keadaan semakin luar kawalan, dan Suresh dilihat dibawa keluar dari padang sambil cuba diserang oleh pemain dan pegawai pasukan Kingstown.

Karier yang rapuh

Realitinya karier sebagai seorang pengadil pada hari ini sangat rapuh. Satu perlawanan sahaja boleh memberi persepsi yang buruk terhadap kemampuan seorang pengadil.

Disebabkan inilah, FAM perlu mengambil langkah pro aktif memastikan setiap pengadil yang dipilih untuk mengadili perlawanan di saingan Liga Malaysia benar-benar bersedia.

Kita tidak mahu pengalaman yang dilalui oleh pengadil seperti Suresh dilalui oleh pengadil-pengadil lain selepas ini.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN