Kualiti Pengadilan Final Piala Malaysia 2018 Sangat Mengecewakan

Disebalik kejayaan pemain-pemain Perak menamatkan penantian 18 tahun menjulang Piala Malaysia dan menambah gelaran kelapan apabila menewaskan Terengganu (TFC) menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi final di Stadium Shah Alam semalam, pengadil utama perlawanan, Suresh Jayaraman adalah sosok yang paling mencuri tumpuan.

Peminat dan pemerhati bola sepak tempatan melabelkan beliau sebagai pengadil terburuk dalam sejarah pengadilan perlawanan akhir trofi berprestij itu.

Malah, Pengerusi Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut mengkritik mutu pengadilan beliau dalam perlawanan itu yang dianggap sangat teruk.

“Pengadil final Piala Malaysia hari ini teruk. Saya tidak pernah melihat dia dan saya terkejut mengapa dia dipilih untuk final,” kata Tunku Ismail melalui laman twitter rasminya.

Sejarah kontroversi pengadil Suresh Jayaraman

Ini bukan kali pertama pengadil tersebut terlibat dalam kontroversi di atas padang kerana beliau pernah dikritik hebat oleh jurulatih pasukan bola sepak Uitm Perlis, Manja Man ketika mengendalikan perlawanan akhir Piala Menteri Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di antara UiTM Shah Alam menentang UiTM Perlis pada 22 September 2015.

Perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Mini UiTM Shah Alam tersebut dicemari oleh insiden tumbuk-menumbuk serta caci-mencaci antara pemain selain perlawanan turut tergendala 10 minit pada minit ke-115.

Insiden pergaduhan di antara pemain UiTM Shah Alam dengan UiTM Perlis.

Pengadil perlawanan ketika itu, Suresh Jayaraman terpaksa melayangkan tiga kad merah kepada seorang pemain tuan rumah dan dua kepada pemain pasukan pelawat. Manja Man mendakwa mutu pengadilan yang disifatkannya ‘bertaraf rendah’ mengundang kepada insiden memalukan itu.

Satu lagi kontroversi yang melibatkan pengadil ini ialah ketika perlawanan Liga Super di antara T-Team FC menentang Kedah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada 15 April 2017 dimana Kedah mengalami kekalahan besar 5-0 kepada T-Team FC.

Tindakan pengadil, Suresh Jayaraman yang melayangkan kad merah kepada pertahanan Kedah, Rizal Ghazali kerana bertindak balas kepada terjahan keras lawan, Muhd Fakrurazi Musa pada minit ke-31 mendapat bantahan daripada pemain lain sehingga mereka meluahkannya di laman Instagram masing-masing.

Beberapa pemain Kedah bertindak memboikot pengadil tersebut dengan memuat naik gambarnya di laman instagram masing-masing.

Pelbagai persoalan timbul apabila pemain T-Team tersebut hanya dilayangkan kad kuning kerana rata-rata penyokong dan pemain lain percaya tindakan berkenaan mampu mendatangkan kecederaan serius kepada Rizal Ghazali.

Isu ini berlarutan sehingga memaksa Subkhiddin Salleh selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk memberi penjelasan mengenai insiden-insiden yang berlaku terhadap para penyokong.

Satu rakaman video yang mendedahkan pemain T-Team FC melakukan terjahan keras ke atas Rizal Ghazali tetapi hanya dilayangkan kad kuning.

Pemilihan Suresh Jayaraman sebagai pengadil perlawanan akhir Piala Malaysia 2018 dipertikaikan

Salah satu kelemahan pengadil ini dapat dilihat dengan jelas semalam apabila beliau gagal mengawal perlawanan dengan baik sehingga mencetuskan kemarahan pemain, jurulatih dan juga penyokong yang hadir di stadium.

Berlaku insiden pergaduhan pemain antara kedua-dua pasukan di kawasan sepakan penjuru Terengganu berpunca daripada keengganan pemain Perak mengeluarkan bola selepas terdapat pemain Terengganu mengalami kecederaan.

Sebagai pengadil utama, beliau sepatutnya membantu meleraikan perbalahan antara pemain tersebut sebaliknya hanya mampu melihat pembantu pengadil bertindak bersendirian mengawal pemain daripada kedua-dua pasukan tersebut.

Bukan itu saja, malah beberapa keputusan lain Suresh turut dipersoalkan termasuk membiarkan pemain kedua-dua pasukan melakukan terjahan keras tanpa mengenakan sebarang amaran atau melayangkan kad.

Salah seorang pembaca kami turut mengesan satu kesalahan penjaga gol Perak ketika penentuan sepakan penalti yang mungkin tidak disedari oleh pengadil tersebut.

Menurut pembaca kami, penjaga gol Perak, Hafizul Hakim sepatutnya berada di atas garisan sebelum sepakan penalti tersebut diambil oleh pemain pasukan lawan.

Dakwaan daripada salah seorang pembaca SemuanyaBola berkenaan kesalahan penjaga gol Perak.

Hal ini kerana menurut buku peraturan Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA), pengadil perlu memastikan penjaga gol berada di atas garisan sebelum pemain lawan mengambil sepakan penalti tersebut.

Dalam hal ini, kami berpendapat pengadil utama berperanan untuk memastikan sepakan penalti itu sama ada sah atau tidak manakala pembantu pengadil yang berada di tepi garisan gol perlu memastikan penjaga gol berada di atas garisan sebelum pemain lawan mengambil sepakan penalti.

Jika Hafizul Hakim berada di atas garisan gol sewaktu pemain lawan menyepak bola, ia masih tidak sah kerana Hafizul perlu berdiri di atas garisan sebelum sepakan penalti tersebut diambil seperti yang termaktub dalam buku peraturan FIFA tersebut.

Maka kami berpendapat, pembantu pengadil berada di tepi gawang gol tidak menyedari tentang kesalahan penjaga gol tersebut. Namun, secara kolektif, ia masih menjadi salah pengadil utama kerana mungkin terlepas pandang dan tidak melihat perkara ini secara keseluruhan.

Cadangan untuk tingkatkan kualiti pengadilan pada perlawanan akhir piala domestik yang akan datang

Untuk perlawanan besar seperti perlawanan akhir piala domestik, penulis berpendapat pengadil yang mempunyai lencana FIFA serta mempunyai pengalaman mengadili perlawanan antarabangsa sepatutnya dipilih sebagai pengadil utama.

FAM perlu menyemak rekod dan prestasi pengadil tersebut terlebih dahulu sama ada pernah terlibat dalam pelbagai kontroversi di saingan liga tempatan supaya pemilihannya nanti tidak dipertikaikan oleh para peminat bola sepak tanah air.

Selain itu, penulis juga mencadangkan agar FAM menjemput seorang pengadil professional dari negara sekitar asia atau asia tenggara seperti mana yang dilakukan oleh Liga Thailand. Ia mungkin memakan kos yang tinggi tetapi pengadil ini hanya akan mengadili satu perlawanan akhir sahaja untuk menjaga prestij kejohanan piala domestik itu sendiri.

Penulis juga menyokong penuh usaha pengerusi MFL, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menghantar pengadil tempatan menjalani kursus pengadilan di Jepun supaya kita dapat menghasilkan lebih ramai pengadil tempatan yang berkualiti pada masa yang akan datang.

Disarankan juga agar Jabatan Pengadil FAM meletakkan KPI yang lebih tinggi kepada semua pengadil dan pembantu pengadil yang bertugas. Prestasi pengadil perlu sentiasa dinilaikan selepas perlawanan supaya markah atau rating dapat diberi ke atas semua pengadil yang terlibat.

Elaun pengadil juga perlu dinaikkan mengikut penilaian prestasi mereka dan diberi perlindungan agar tidak diganggu oleh bookie. Pengadil yang mempamerkan prestasi cemerlang sahaja layak mengendalikan perlawanan akhir piala domestik.

Penutup

Sudah tiba masanya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengkaji secara lebih mendalam tentang mutu pengadilan bola sepak negara agar keputusan pengadil tidak terus menimbulkan kontroversi sehingga kewibawaan mereka sering dipertikaikan setiap kali mengadili perlawanan.

Adalah tidak mustahil masa depan sukan bola sepak negara akan terus berdepan dengan suasana kekecohan demi kekecohan setiap kali perlawanan akhir piala domestik sekiranya FAM tidak serius meningkatkan mutu pengadilan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN