KOPA Group tampil memberi penjelasan mengenai pembelian saham dalam kelab Perak FC yang akhirnya menemui titik nokhtah selepas segala perbincangan gagal untuk merealisasikan pembelian saham tersebut.
Ia sekaligus mengingatkan penulis dengan kisah di utara tanah air melibatkan pembelian saham melibatkan sebuah syarikat automatif, GoFlumen dengan Kedah Darul Aman FC yang juga menemui jalan buntu akhirnya.
Apa yang pihak pengurusan sedia ada mahukan sebenarnya? Pasukan sedang bergelut dengan masalah kewangan, tetapi pengurusan sedia ada seolah-olah tidak berminat. Apa kepentingan mereka sebenarnya?
Berkenaan Status Kopa Arena.
Pihak KOPA ingin memberi penjelasan kpd penyokong Perak FC berkenaan status pembelian saham Perak FC
Kronology
1.Pihak KOPA berminat untuk mengambil alih pegangan saham Perak FC drpd Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) sebanyak 51% utk peringkat awal— Kopa Arena (@ArenaKopa) November 6, 2021
Menurut Farouk Hashim, wakil daripada KOPA Group, setakat ini perbincangan mengenai pembelian saham dalam Perak FC boleh dianggap menemui jalan buntu selepas tiada persetujuan diterima daripada PAFA.
Ujarnya, “Pihak KOPA mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perbincangan sehingga masa yang lebih sesuai, malah sehingga kini pihak PAFA masih belum menyatakan nilai dan liabiliti Perak FC yang lebih jelas.”
Berdasarkan kronologi yang diberikan di laman Twitter Kopa Arena, KOPA Group telah menyatakan minat untuk membeli 51 peratus saham dalam Perak FC daripada Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) dan secara rasmi pada 12 September, surat tunjuk minat dan bukti kemampuan kewangan telah diserahkan kepada PAFA.
Mereka turut membuat surat susulan lima hari kemudian untuk memohon kebenaran melakukan process ‘due diligence’ dan sebagainya sebagai tanda mereka serius untuk mengambil alih sebahagian besar saham itu.
“Malah pihak KOPA telah memberi ‘komitmen’ awalan dalam bentuk tunai kepada pihak Perak FC dalam membantu operasi pasukan. Pada 12 Oktober 2021, telah berlaku pertukaran Setiausaha PAFA yang baharu, oleh itu satu perbincangan telah diadakan untuk meneruskan proses pengambil alihan ini [saham Perak FC].
“Akan tetapi, perbincangan ini tergantung apabila pihak PAFA mencadangkan dengan ‘cadangan tambahan’ daripada persetujuan awal. Ini termasuk tambahan wang token kepada PAFA dan juga berlaku perubahan liabiliti yang lebih tinggi dari jumlah sebelum ini,” titip kenyataan ringkas di Twitter itu lanjut mengenainya.
Walaupun ia seperti berakhir pada ketika ini, KOPA Group kekal dengan komitmen untuk sentiasa memberi bantuan dan sokongan kepada Pengurusan Perak FC dan pemain secara langsung atau tidak langsung.
Begitu jugalah kisahnya dengan Kedah Darul Aman FC yang melalui kisah yang hampir sama apabila Kedah FA dilihat ‘liat’ untuk melepaskan pegangan mereka dalam pengurusan kelab yang akhirnya menemui jalan buntu.
Bermula dengan cubaan pihak Koperasi Anak Kedah dan diikuti oleh syarikat GoFlumen, kisah penswastaan pasukan akhirnya tidak menjadi. ‘Mereka’ sukar melepaskan pegangan mereka di dalam kelab tersebut.
Apa kepentingan atau kelebihan sekiranya mereka terus berada dalam pengurusan tertinggi pasukan? Adakah ini penswastaan yang dicanang-canang? Masalah tunggakan gaji masih jadi tajuk utama kedua-dua pasukan saban tahun seolah-olah tiada pengakhirannya. Sampai bila pihak pengurusan lama mahu bermain?
Tempoh yang diberikan oleh Malaysian Football League (MFL) untuk penswastaan penuh diadakan pada 2023 dilihat masih memberi peluang untuk kesemua pasukan menjadi pelabur berpotensi untuk dibawa masuk.
Namun begitu, 2022 juga sudah semakin hampir dan gerak kerja perlu dilakukan dengan sepantasnya.
Tidak mustahil ia tidak akan menjadi realiti sebagaimana telahan pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman yang menganggap proses penswastaan Liga Malaysia akan gagal berdasarkan pengalaman yang dilaluinya.