“Bola sepak adalah permainan yang mudah- 22 pemain mengejar sebiji bola untuk tempoh 90 minit, dan akhirnya Jerman menang.”
Ini adalah petikan kata-kata bekas pemain antarabangsa England yang juga penyampai kepada BBC, Gary Lineker selepas England disingkirkan oleh Jerman di Piala Dunia 1990.
Bola sepak Inggeris seolah-olah seperti kehilangan setiap kali pencapaian mereka dibandingkan dengan Jerman. Berdasarkan keputusan lalu, sukar untuk menidakkan kenyataan Lineker.
Untuk sedekad yang lalu, kekuatan pasukan bola sepak Jerman menjadi semakin dominan.
Jerman adalah juara dunia sebanyak 4 kali, dan 3 kali juara eropah. 4 kali layak sekurang-kurangnya ke peringkat separuh akhir Piala Dunia sejak 2002, bukti mereka bukan tandingan England.
1 September 2001
Oleh kerana itu, sukar untuk kita membayangkan keputusan perlawanan pada hari ini, genap 16 tahun yang lalu. England menewaskan Jerman dengan penuh bergaya dengan jaringan 5-1 dalam perlawanan pusingan kelayakkan Piala Dunia Zon Eropah di Munich’s Olympiastadion, Jerman.
Ia adalah sesuatu yang memalukan bagi bola sepak Jerman, namum dikenang oleh bola sepak Inggeris sehingga ke hari ini.
Carsten Jancker meletakkan Jerman di hadapan hanya selepas 6 minit perlawanan. Gol awal tersebut memberi bayangan kepada dunia bahawa England tidak pernah punyai harapan di pentas antarabangsa terutama jika Jerman dijadikan perbandingan.
Namun bintang Liverpool, Michael Owen dan Steven Gerrard menjaringkan dua gol pada separuh masa pertama untuk membenarkan England mendahului- situasi yang janggal dan pelik.
Tetapi 45 minit berikutnya disifatkan sebagai penentu kepada laluan dan masa depan bola sepak dua buah negara berkenaan.
Michael Owen menjaringkan 2 lagi gol untuk melengkapkan hatrik beliau sebelum Emile Heskey melengkapkan kemenangan bergaya ke atas Jerman.
England kelihatan seperti sebuah pasukan yang akan kembali mengegarkan pentas bola sepak antarabangsa!
England yang yakin
Steve McManaman yang beraksi bersama Real Madrid pada masa itu berkata:
“Setiap kali kami menyerang pada separuh masa kedua perlawanan, ia seperti kami akan mendapatkan jaringan. Menjaringkan 5 gol menentang Jerman akan membuatkan dunia sedar akan kekuatan kami.”
Malah pemenang Piala Dunia dan jurulatih Jerman, Franz Beckenbuer tidak percaya dengan keputusan perlawanan tersebut. Beliau berkata:
“Saya tidak pernah menyaksikan pasukan England bermain bola sepak sebaik begini. Mereka punyai kepantasan, agresif, gerakan merbahaya, dan sudah tentu skil menarik. Ia bagaikan sebuah pasukan fantasi.”
Ia adalah persembahan yang mengkagumkan dari pasukan England, dikatakan antara yang terbaik pernah dihasilkan oleh pasukan The Three Lions. Namun bagi Jerman, kekalahan sebegini besar sukar ditelan.
Karl-heinz Rummenigge yang beraksi di dalam 3 edisi Piala Dunia berkata: “Saya tidak pernah menyaksikan kekalahan sebegini teruk. Ia adalah kekalahan yang memalukan buat kami.”
Kebangkitan Jerman baharu
Jerman seperti dibangunkan dari mimpi ngeri selepas kekalahan tersebut. Selepas tersingkir di peringkat kumpulan kejohanan Euro 2004, Persatuan Bola Sepak Jerman melantik Juergen Klinsmann sebagai ketua jurulatih baharu.
Juergen Klinsmann yang membimbing Amerika Syarikat sehingga tahun lalu berkata:
“Joachim Leow (kini jurulatih Jerman) dan saya memulakan kembali proses pembaharuan dengan memberikan pasukan kebangsaan identiti yang baharu.”
“Kami cuba membentuk sebuah pasukan yang berpaksikan DNA menyerang, menghantar bola rendah dari bahagian belakang ke bahagian serangan secepat mungkin.”
Seorang wartawan Jerman, Raphael Honingstein menyifatkan visi yang diterapkan oleh Klinsmann adalah kunci kepada revolusi bola sepak Jerman.
Raphael Honingstein berkata:
“Ada 3 komponen utama yang memacu kejayaan visi milik Klinsmann. Barisan pemain muda, corak permainan dan kejayaan layak ke separuh akhir Piala Dunia 2006. Gabungan 3 perkara ini memberi keyakinan kepada skuad Jerman selepas itu ketika menyertai kejohanan lain.”
Tatkala Jerman telah mereformasikan pasukan kebangsaan dan juga persatuan kebangsaaan yang mengendalikan bola sepak di Jerman, Liga Perdana Inggeris menjadi liga yang semakin kukuh, namun tidak seiring dengan keupayaan dan prestasi pasukan kebangsaannya di kejohanan antarabangsa.
Honigstein menambah:
“Di Jerman anda tidak akan menjumpai tahap antagonisme (berlainan tahap atau darjat) di kalangan badan-badan yang terlibat dala bola sepak. Untuk semua pemain dan pihak yang terlibat, kepentingan pasukan kebangsaan menjadi keutamaan”
Rumusan
Hari ini kita boleh melihat bagaimana skuad kebangsaan Jerman menuai hasil daripada model bola sepak yang dicetuskan oleh Juergen Klinsmann.
Jelas mereka belajar daripada kekalahan 5-1 kepada England yang dianggap telah memalukan maruah sebagai sebuah negara.
Usah kita bicara mengenai England. Sekurang-kurangnya England berjaya membentuk liga bola sepak antara yang paling kompetitif di dunia.
Bukankah kita sendiri harus belajar daripada Jerman?
Apakah maknanya kekecewaan tewas di perlawanan akhir Sukan SEA kepada Thailand jika kita tidak belajar dan mengambil langkah proaktif untuk berjaya pada masa hadapan.
Atau adakah bola sepak kita belum cukup untuk dimalukan lagi untuk membenarkan ia bangkit?
Nota editor: Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili Semuanya BOLA sebagai sebuah organisasi.
Sumber:
1. Simon Burton, The Guardian (2017): Germany 1-5 England: 15 years on World Cup qualifier is still music to ears of many; https://www.theguardian.com/football/2016/sep/01/germany-1-5-england-15-years-on-world-cup-qualifier-sven-goran-eriksson
2. BBC Sport (2017): Germany 1-5 England: Ten years on; http://www.bbc.com/sport/football/14622187