Kisah Eric Abidal Tidak Dibayar Gaji Oleh Barcelona Kerana Kanser Sebelum Karier Diselamatkan Monaco

Eric Abidal telah tampil di dalam 125 perlawanan La Liga untuk Barcelona dari tahun 2007 sehingga 2013.

Sepanjang tempoh itu, beliau membawa gergasi Catalan itu menjuarai empat kejuaraan La Liga pada musim 2008-09, 2009-10, 2010-11, dan 2012-13.

Selain itu Abidal juga turut membantu Barcelona menjuarai dua kejuaraan Copa del Rey, dua kejuaraan UEFA Champions League, tiga medal Supercopa de Espana, dua UEFA Super Cup, dan dua kali juara Piala Kelab Dunia.

Bagaimanakah anda mahu menghitung sumbangan besar yang diberikan oleh Abidal kepada Barcelona ini?

Ujian berat Abidal

Salah satu detik terbaik dalam dunia bola sepak adalah ketika Carles Puyol menyarungkan lilitan kapten kepada Eric Abidal sewaktu upacara penyerahan trofi Liga Juara-Juara Eropah selepas dalam perlawanan akhir di Wembley pada 2011.

Ia merupakan penghargaan buat pemain bek kiri Perancis itu dalam perjuangannya melawan menyakit kanser hati tidak lama sebelum beliau menampilkan aksi luar biasa untuk membantu Barcelona menumpaskan Manchesster United 3-1.

Diagnosis awal oleh doktor pada Mac 2011 memaklumkan terdapat ketumbuhan pada hatinya dan beliau terus menjalani pembedahan.

Selepas Barcelona membuat pengumuman menenai keadaan Abidal, pemain dan peminat bola sepak di seluruh dunia melahirkan sokongan kepadanya melalui pebagai medium seperti surat, media sosial, laman web dan sebagainya.

Tetapi pada awal 2012, keadaan kesihatannya dilaporkan semakin merosot dan Barcelona mengumumkan beliau perlu menjalani pembedahan pemindahan hati.

Salah seorang yang menawarkan untuk menderma hati adalah Dani Alves, tetapi Abidal menolak kerana tidak mahu karier rakan sepasukannnya terjejas. Akhirnya sepupunya, Gerard menjadi penderma dan proses pembedahan berjalan dengan lancar.

Pada Mei 2012, Abidal dibenarkan untuk keluar dari hospital dan menjalani proses pemulihan di rumah dan telah mula menjalani latihan bersama pasukannya pada Oktober 2012.

Akhirnya pada Mac 2013, beliau mendapat lampu hijau untuk kembali beraksi bersama pasukan dan sempat beraksi beberapa perlawanan untuk Barcelona sebelum meninggalkan pasukan kesayangannya itu pada penghujung musim.

Barcelona tidak kenang budi

Mungkin tidak ramai yang ingat akan pergumulan yang dihadapi oleh Abidal ketika sedang melawan kanser.

Walaupun menerima sokongan daripada rakan sepasukan, Abidal mendakwa layanan sebaliknya diterima daripada Barcelona.

Eric Abidal mendakwa Barcelona tidak membayar gajinya ketika beliau sedang bergelut melawan kanser hati yang dihadapinya sehingga memaksa beliau melakukan pembedahan pemindahan hati.

Beliau juga tidak senang bagaimana pihak kelab mengendalikan sidang media terakhirnya ketika kedua-dua pihak bersetuju secara bersama untuk berpisah.

“Apa yang saya sukar fahami ialah bagaimana Barcelona mengendalikan sidang media pada hari terakhir saya di sana. Dengan mengatakan ia adalah ‘pilihan secara profesional’, perkara itu menimbulkan keraguan kelab lain [untuk mendapatkan khidmatnya selepas itu],” kata Abidal ketika itu.

“Ia bukan soal wang sahaja. Malah sepanjang berbulan-bulan lamanya ketika saya terlantar sakit, hakikatnya mereka [Barcelona] tidak membayar gaji saya.

“Syukurlah jurulatih dan presiden Monaco masih percayakan kemampuan saya. Syukur segalanya berjalan lancar. Tetapi itulah saatnya saya pernah merasakan keraguan terhadap diri [kerana tindakan Barcelona].”

Kenyataan Abidal pada ketika itu mendapat reaksi balas Barcelona melalui satu kenyataan.

Menyangkal dakwaan pemain itu, Barcelona berkata semua gaji Abidal dibayar penuh dan pembayaran tersebut tidak pernah lambat dilakukan, namun mengakui sebahagian daripada bayaran tersebut datangnya daripada pihak insuran.

Masih dianggap legenda

Walau apa pun perkara yang dihadapi oleh Abidal, beliau tetap dianggap sebagai salah seorang legenda Barcelona di era emas pasukan itu di saingan domestik dan eropah.

Melalui satu temuramah bersama L’Equipe selepas itu, Abidal mengakui ianya bukan mudah untuk meninggalkan Catalonia selepas enam tahun bersama Barcelona.

“Masalahnya ialah kontrak saya pada ketika itu menuju ke penghujung. Dalam situasi tersebut, ia sama ada akan diperbaharui atau ia akan berakhir. Saya bersedia untuk kedua-duanya.

“Ia sukar diterima tetapi anda tidak ada banyak pilihan. Pengembaraan bersama Barcelona telah berakhir, tetapi saya gembira kerana memulakan pengembaraan baharu bersama Monaco.

Abidal kemudian menyertai Monaco dan mengakhiri kariernya di Olympiacos. Walaupun tidak memenangi apa-apa kejuaraan bersama Monaco, dengan kudrat yang ada Abidal sempat membantu Olympiacos muncul juara Greece selepas itu,

Selepas 14 tahun bergelar pemain bola sepak profesional, Eric Abidal secara rasminya bersara sebagai pemain pada Disember 2014.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN