Perlawanan Akhir Piala Malaysia Diadakan Pada Selasa? Ini Jawapan MFL

Piala Malaysia 2021

Semalam, pihak Malaysian Football League (MFL) telah mengeluarkan garis masa kejohanan Piala Malaysia 2021 yang bakal memasuki peringkat kalah mati tidak lama lagi.

Dalam siaran mereka di Facebook, terdapat beberapa tarikh penting yang perlu penyokong bola sepak tempatan ketahui:

  • Suku akhir: 14 dan 18 November
  • Separuh akhir: 22 dan 26 November
  • Akhir: 30 November

Main hari Selasa?

Apa yang menarik perhatian ramai pihak adalah mengenai tarikh yang diletakkan oleh MFL untuk perlawanan akhir.

Perlawanan akhir Piala Malaysia pada tahun ini diadakan pada hari yang diluar kebiasaan iaitu Selasa.

Situasi ini mengundang reaksi yang pelbagai dari warganet mengenai keputusan badan penganjur liga di negara kita ini.

Namun begitu, MFL telah tampil memberikan penjelasan mengenai situasi ini.

Menurut MFL, apa yang berlaku ini adalah disebabkan oleh perihal kontrak pemain yang lazimnya tamat pada 30 November.

Malah, ianya juga untuk memudahkan urusan pemain-pemain yang terlibat dalam skuad kebangsaan yang bakal terbang ke Singapura untuk saingan Piala AFF 2020 akhir tahun ini.

Pemain yang terlibat dengan skuad kebangsaan akan menyertai latihan pusat pada 28 November dan 1 Disember.

Latihan ini pula akan diadakan secara berperingkat.

Bermakna jika kelab mereka tersingkir awal dari saingan Piala Malaysia, mereka akan melaporkan diri lebih awal berbanding pasukan yang pergi lebih jauh dalam kejohanan.

“Majoriti pemain Liga Malaysia akan tamat kontrak pada penghujung November 2021 dan skuad kebangsaan akan menjalani latihan pusat secara berperingkat pada 28 November 2021 dan 1 Disember 2021 bagi mengharungi kejohanan Piala Suzuki AFF 2020,” kata MFL dalam kenyataan mereka.

Situasi ini berlaku akibat dari kuarantin wajib 14 hari yang perlu dilalui pemain Harimau Malaya selepas mereka pulang dari tugasan di Jordan tempoh hari.

Ianya menghasilkan sebab mengapa perlawanan akhir bagi edisi ke-100 akan diadakan pada hari bekerja.

Selepas perlawanan akhir Piala Malaysia, seluruh tumpuan akan terarah kepada Harimau Malaya pada yang bakal memulakan saingan Piala AFF 2020 menentang Kemboja pada 6 Disember ini.

Leave a Reply