Berikut adalah 5 kelab yang boleh dikatakan berpengaruh dalam bola sepak dunia namun berhadapan dengan muflis.
1. Parma
Siapa tidak tahu kelab lagenda Parma. Sebuah kelab di Itali yang pernah naik mendadak pada awal 90-an.
Daripada pengurus bernama Carlo Ancelotti sehinggalah ke pemain-pemain ternama seperti Tomas Brolin, Hristo Stoichkov, Fabio Cannavaro, Gianfranco Zola, Faustino Asprilla, Dino Baggio, Hernan Crespo, Enrico Chiesa, dan Diego Fuser semuanya pernah bermain untuk pasukan yang digelar paling ‘cantik’ di Itali ini .
Pada musim 2014/15, mereka berhadapan dengan isu insolvensi dengan beban hutang €197 juta walaupun ada beberapa pemain mereka yang menyokong kelab ini sanggup bermain dengan gaji rendah dan tidak dibayar untuk beberapa bulan.
Pujian memang harus diberikan kepada pengurus mereka ketika itu, Roberto Donadonni dan juga jurulatih skuad muda Hernan Crespo yang meneruskan tugasan sehingga akhir musim walaupun gaji tidak dibayar.
Lebih banyak kisah sedih kelab ini. Antaranya ialah, terpaksa membatalkan perlawanan Serie A menentang Udinese kerana tidak mampu membayar steward untuk perlawnanan tersebut.
Namun ia tidak cukup untuk membantu beban hutang kelab ini yang membuatkan mereka dilarang untuk bermain di Serie A. Lebih malang, akaun mereka turut tidak melayakkan mereka beraksi di Serie B.
Kini mereka beraksi di tier ke-3, Lega Pro selepas ditolak ke Serie D sebelum itu.
2. Glasgow Rangers
Dunia bola sepak dikejutkan dengan kehilangan old firm derby setelah Rangers disahkan muflis. Segalanya bermula selepas musim 2000, mereka melakukan perbelanjaan yang berlebihan.
Setiap musim mereka akan defisit €13. mereka berhutang dengan Kumpulan Perbankan Lloyd sekitar £30 juta pada akhir 2009.
Ia berjaya dikurangkan kepada £18 juta pada bulan April 2011. Namun isu telah diburukkan oleh hutang cukai £49 juta oleh pejabat hasil di UK.
Keadaan menjadi begitu buruk bahawa David Murray menjual 85% kepentingannya kepada Wavetower Limited dengan harapan pemilik baru itu dapat memulihkan keadaan dan membawa masuk pemain baru.
Namun itu gagal berlaku dan mereka berhadapan dengan muflis dan diturunkan ke divisyen 4 Scotland.
3. Fiorentina
Ia berlaku apabila pemilik kelab terlalu tamak dan emosi dalam membelanjakan duit. Pembelian pemain yang terlalu mahal dan pemberian gaji melampau adalah cara untuk mereka cuba mencapai kejayaan segera.
Mereka hampir diiktiraf muflis pada awal 2000-an namun status itu seakan-akan dapat diselamatkan selepas itu. Namun pada 2002 mereka agak goyah namun sinar harapan untuk mengatasi beban hutang tetap ada.
Ini kerana status pemain bintang dan aksi mereka di atas padang yang membantu publisiti dengan memenangi Coppa Italia pada tahun 2001 dan layak ke Piala UEFA.
Walaubagaimanapun, audit menyatakan kelab itu terbeban dengan hutang £32 juta. Ia jumlah wang besar pada masa itu berbanding dengan hari ini.
Mereka kemudian gagal membayar gaji pemain mereka secara konsisten dan mengikut kontrak.
Hutang semakin meningkat dan melumpuhkan kelab kesayangan Gabriel Batistuta ini dan mereka tersingkir daripada Serie A pada akhir musim ini.
Sama seperti Parma, Fiorentina mempunyai hutang yang banyak dan status kewangan mereka tidak layak untuk bermain di Serie B. Mereka diarahkan bermain di Serie D ataupun divisyen ke-4 Itali.
Pada musim 2004/05 mereka kembali semula ke Serie A.
4. Leeds United
Kami pernah menulis tentang kisah kejatuhan Leeds United ini dalam artikel ‘Mengenang Kisah Kegemilangan Dan Kejatuhan Leeds United.’
Mereka muflis selepas terlalu terbuai-buai dengan kejayaan mengejut yang dihadirkan pada era David O’Leary. Mereka mara sehingga ke separuh akhir UCL pada 2001.
Malangnya pada musim 2002/2003 mereka gagal ke UCL. Dan ini membuatkan mereka panik kerana terlalu banyak berbelanja untuk gaji pemain dan kos pentadbiran yang tidak munasabah.
Hanya bonus EPL menjadi sandaran mereka. Sukar untuk menjuarai EPL kerana pemain muda mereka terlalu tertekan.
Pengerusi kelab Peter Risdale mula berbelanja seperti mereka adalah Real Madrid. Menyewa perkhidmatan jet dan juga kereta mewah untuk beliau dan beberapa staf yang beliau gemari.
Kos ini sahaja dianggarkan bernilai £20 juta sebulan. Risdale mulai mengganggu O’Leary kerana beliau panik mahu mendapatkan dana membuatkan O’Leary marah dan meletakkan jawatan.
Ramai pemain dijual kerana beban hutang mereka. Antaranya adalah Rio Ferdinand.
Leeds menanggung hutang sekitar £119. Krisis demi krisis ini mempengaruhi aksi dan kualiti mereka di padang dengan kehilangan pemain-pemain terbaik mereka.
Kebanyakkannya terpaksa dilepaskan dengan harga lelong. Pada akhir musim 2004, mereka tersingkir daripada EPL dan masih belum pernah membuat kemunculan kembali ke EPL sehingga ke hari ini.
5. Portsmouth
Sebuah kelab yang berpengaruh di England dan banyak kejayaan mereka kecapi sepanjang sejarah penubuhan mereka. Namun siapa sangka mereka akhirnya diiktiraf muflis.
Harry Redknapp telah memberikan sinar kepada pasukan ini dengan perancangan teliti beliau. Membawa masuk nama-nama seperti Glenn Johnson, Utaka, Lassana Diarra, Niko Kranjcar dan Suley Muntari.
Muflis membuatkan mereka gagal membeli pemain yang baru untuk kelab. Akademi mereka gagal menarik bakat-bakat muda lagi.
Penyokong mereka kerap melaungkan slogan ‘Kebanggaan Di Selatan’ ini akhirnya terpaksa menerima hakikat mereka bukan lagi pasukan yang digeruni di atas padang.
Mereka berhutang £135 juta dan diiktiraf muflis.
Baca juga : 10 Senarai Pilihan Peminat Untuk Memenangi Anugerah Puskas