Kipre Tchetche: Unity Shield Penting Untuk Akhiri Pra-Musim Kedah & Perak

Kipre Tchetche Kedah Perak Unity Shield 2020

Penyerang import Kedah, Kipre Tchetche dipetik berkata dalam sidang media Kejohanan Unity Shield yang berlangsung petang semalam, perlawanan ini penting untuk kedua-dua pasukan terutamanya Kedah sebagai persediaan menghadapi saingan Liga Super musim 2020.

Kedah akan membuka tirai Liga Malaysia dengan pertembungan menentang juara Liga Super 2019, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Piala Sumbangsih pada 28 Februari depan.

Kejohanan pra-musim Unity Shield ini telah memasuki edisi kedua selepas ia diperkenalkan pada musim lalu dengan Kedah menjulangnya selepas merekodkan kemenangan 2-0.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Darul Aman itu, penyerang import, Fernando Rodriguez dan Syahrul Azwari Ibrahim berjaya meledak gol kemenangan Kedah ke atas Perak.

“Saya rasa perlawanan ini adalah persediaan yang sangat baik untuk kedua-dua pasukan. Apabila kita turun bermain, kita sentiasa memburu kemenangan, tetapi saya rasa kedua-dua pasukan pastinya mahukan kemenangan dalam perlawanan ini.

“Apa yang penting adalah kita perlu menyelesaikan beberapa perkara yang telah dipelajari dalam sesi latihan. Saingan liga juga sudah semakin dekat, jadi kita perlu memperbaiki beberapa aspek permainan,” jelas Kipre Tchetche mengenai perlawanan tersebut.

Kedah sudah melalui pra-musim panjang mereka disamping telah bermain dalam dua perlawanan kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2020 tempohari. Kedah menang 5-1 ke atas wakil Hong Kong, Tai Po FC sebelum tunduk 1-4 kepada wakil Korea Selatan, FC Seoul.

Penyerang berusia 32 tahun itu telah meledak tiga gol sepanjang pra-musim selain meledak hatrik ketika membenam Tai Po FC di pusingan kedua kelayakan ACL 2020 di Alor Setar.

Berbanding Kpah Sherman yang sangat berbisa di perlawanan pra-musim dengan sembilan gol, Kipre Tchetche terlebih dahulu mencuri tumpuan dalam aksi perlawanan kompetitif.

“Perlawanan sebegini sangat baik kerana kedua-dua pasukan adalah antara pasukan yang bagus dan kuat di dalam Liga Malaysia. Kita akan manfaatkan perlawanan ini sebelum liga bermula,” tambahnya lagi mengenai aksi berdepan Perak di Stadium Ipoh, Perak, malam ini.

KREDIT FOTO: KEDAH FA

Leave a Reply