Musim panas di Eropah kali ini menyajikan suasana yang sedikit berbeza buat beberapa pemain.
Ada yang mewakili skuad kebangsaan di kejohanan antarabangsa, ada juga sedang berehat bersama-sama keluarga dan teman-teman dengan bercuti.
Malah ada juga yang turun naik mahkamah.
Jika para pemain Real Madrid turun naik mahkamah kerana isu cukai, pemain Bayern Munich Kingsley Coman dijangka akan naik ke mahkamah berikutan isu jenayah.
Coman dicekup pihak polis di Perancis selepas beliau melakukan kesalahan mencederakan bekas teman wanitanya.
Menurut laporan di Perancis, beliau telah diberkas oleh pihak polis di sebuah tempat bernama Chessy.
Beliau kemudiannya mengaku akan perbuatan tersebut sehari kemudian pada Selasa sebaik sahaja dilepaskan oleh pihak polis.
Isu ini terjadi selepas bekas teman wanita Coman telah menggunakan laman Instagram pemain tersebut untuk mempromosikan penaja di dalam kemas kini di Instagram.
Barangkali menggunakannya tanpa kebenaran Coman ternyata telah menimbulkan kemarahan dalam diri pemain itu. Lalu, bekas teman wanitanya itu diserang oleh pemain tersebut hingga cedera.
Kecederaan itu telah menyebabkan bekas teman wanitanya terpaksa direhatkan dari sebarang tugasan beliau selama 8 hari.
Keputusan bagi kes Coman ini akan diketahui paling awal pada bulan September.
Sumber:
- ESPN (2017): Kingsley Coman arrested on suspicion of domestic violence – reports; http://www.espnfc.com/bayern-munich/story/3149472/kingsley-coman-of-bayern-munich-arrested-on-suspicion-of-domestic-violence-reports