Kim Swee Tak Pandang Pengalaman Tetapi Kesungguhan Pemain

Ketua jurulatih skuad Malaysia bawah 23 tahun, Datuk Ong Kim Swee menyifatkan mempunyai pengalaman sahaja tidak mencukupi jika pemain itu tidak menunjukkan kesungguhan dan sikap positif untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.

Beliau bercakap kepada berita harian ketika ditemui di hotel penginapan pasukan semalam.

“Sudah tentu, pengalaman mereka mampu menjadi sesuatu yang berharga buat skuad kebangsaan.

“Tetapi walaupun anda memiliki pengalaman, ia tidak akan bermakna jika anda tidak mempunyai sikap positif yang saya perlukan,” jelasnya.

Menurut akhbar berita harian, terdapat tujuh pemain yang memiliki pengalaman beraksi di peringkat antarabangsa di dalam skuad latihan kendalian Datuk Ong Kim Swee tetapi itu tidak bermakna mereka akan mendapat tempat secara automatik untuk ke Kejohanan AFC Bawah 23 Tahun, di China pada Januari nanti.

Walaupun mengakui beliau amat menghargai pengalaman yang dimiliki tujuh pemain terbabit, Kim Swee tetap mahu berlaku adil terhadap 30 pelatih yang turut serta dalam kem latihan kali ini.

Hadi Fayyadh adalah antara pemain termuda yang dipanggil ke kem latihan pusat kali ini. (Gambar: FAM)

Mengikut senarai pemain yang dipanggil ke kem latihan pusat, pertahanan kanan Pahang, Matthew Davies adalah pemain paling berpengalaman ketika ini selepas mewakili negara sebanyak 14 kali bersama skuad senior tetapi dia masih lagi dibelenggu masalah kecederaan.

Pemain lain yang turut pernah beraksi bersama skuad kebangsaan ialah Safawi Rasid (enam kali), Syamer Kutty Abba (dua), Adam Nor Azlin, Ahmad Khairil Anuar Zamri, Syafiq Ahmad dan Ahmad Syihan Hazmi Mohamed (masing-masing sekali).

Penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal Chek Kassim menjalani latihan bersama skuad senior di bawah jurulatih Nelo Vingada tetapi masih belum membuat sebarang penampilan setakat ini.

“Tidak kira sama ada mereka adalah pemain skuad senior atau tidak. Ia bukan jaminan untuk mereka disenaraikan bagi menghadapi kejohanan kali ini,” kata Kim Swee yang bertanggungjawab membuka ruang kepada Davies dan Safawi tampil buat kali pertama bersama skuad kebangsaan iaitu ketika beliau masih bergelar jurulatih skuad senior negara.

“Mereka masih perlu membuktikan kemampuan masing-masing, sama seperti pemain lain. Ini adalah peringkat tertinggi kejohanan remaja Asia dan justeru, mereka perlu mempunyai sikap positif selain mahu beraksi pada tahap terbaik masing-masing. Itulah yang menjadi kriteria utama.” katanya.

Kapten Pahang, Matthew Davies memiliki caps terbanyak berbanding pemain lain dalam skuad Malaysia Bawah 23 Tahun. (Gambar: Muhammad Syamil Naim Bin Jamil /asiana.my)

Ketika Davies memiliki caps terbanyak, penjaga gol Kelantan, Syihan pula muncul pemain pertama dalam peringkat usianya yang bermain untuk negara.

Syihan baru berusia 17 tahun ketika dipanggil bekas jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal pada 2013 dan walaupun hanya masuk pada minit ke-89, dia pernah menikmati aksi persahabatan menentang Palestin dan berjaya menyelamatkan penalti.

Syamer, Adam, Khairil dan Syafiq semuanya tampil buat kali pertama bersama skuad negara pada kempen kelayakan Piala Asia menentang Korea Utara, baru-baru ini.

Sementara itu, kehadiran Tommy Mawat Bada meningkatkan jumlah kehadiran pemain ke kem latihan pusat kepada 28 orang dan hanya Davies serta Syafiq yang masih belum melaporkan diri. -BH

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN