Melepasi jangkaan ramai, Datuk Ong Kim Swee dan Sabah FC telah mara sehingga ke suku akhir Piala Malaysia 2021 sebelum disingkir Melaka United dengan agregat 1-3 dan apa pula perancangannya musim depan?
Dalam sidang media selepas berakhirnya kempen The Rhinos, malam tadi, Kim Swee berulang kali menyebut tentang kualiti dan kematangan pasukan. Adakah ini satu bayangan dan gambaran perancangannya nanti?
Sebagaimana yang diketahui, beliau telah mengambil alih sebagai pengendali pasukan sebelum bermulanya saingan Piala Malaysia dan perubahan hanya boleh dilakukannya pada permulaan musim hadapan. Katanya, “Apabila saya dilantik, tugas pertama saya adalah untuk memilih pemain-pemain untuk musim hadapan.”
Analisis: Falsafah Bola Sepak Ong Kim Swee Yang Bakal Mengubah Sabah FChttps://t.co/aZ3Igp9noE
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) September 11, 2021
Beliau menggantikan Kurniawan Dwi Yulianto yang telah dilepaskan oleh pihak pengurusan Sabah selepas berakhirnya saingan Liga Super 2021 – mereka telah menamatkan musim di kedudukan ke-9 dengan 19 mata hanya dibezakan tiga mata daripada pasukan yang tersingkir ke Liga Premier musim depan, Perak FC.
Sebaik liga kembali bersambung pada penghujung Julai selepas rehat aksi antarabangsa, Sabah gagal meraih tiga mata untuk sembilan perlawanan berturut-turut, malah mereka telah melakar rekod tanpa kemenangan 10 perlawanan berturut-turut sejak Mei 2021. Mereka kembali menang ketika di bawah kendalian Kim Swee.
Sabah menang 2-1 ke atas Kelantan FC dalam aksi ke-5, Kumpulan D, Piala Malaysia pada 6 November lalu.
Selepas itu, The Rhinos mengejutkan PJ City FC dengan keputusan 1-0 di laman sendiri dalam aksi terakhir kumpulan untuk memintas kedudukan kedua The Phoenix seterusnya mara ke suku akhir Piala Malaysia buat kali kedua dalam tempoh lima tahun – menyamai pencapaian lepas peringkat kumpulan pada edisi 2018.
Piala Malaysia: Penalti Risto Mitrevski Bawa Sabah Sertai 7 Lagi Pasukan Di Suku Akhirhttps://t.co/o8PVPIpmip
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) November 9, 2021
Ujarnya, “Bagi saya, pemain-pemain sedia ada telah berikan segala kerjasama ketika saya mengambil alih. Mereka cuba berikan yang terbaik dari segi persiapan, latihan dan perancangan pasukan yang telah dilakukan.”
“Apabila saya ambil alih, pemain muda mendapat peluang. Ini pasti membantu mereka dari segi kematangan mereka untuk tahun hadapan. Ini memberi mereka pengalaman yang sukar mereka dapati,” tegasnya.
Tambah Kim Swee lagi dalam sidang media terakhirnya untuk musim 2021 itu, “Setiap perlawanan, mereka memberikan komitmen yang cukup tinggi. Mereka cuba lakukan apa yang kita rancang. Namun, dalam bola sepak, kualiti dan kematangan para pemain dalam padang akan membezakan sesuatu pasukan.
“Pemain-pemain muda Sabah terutamanya, dalam saingan Piala Malaysia, mereka telah mendapat suatu pengalaman. Saya percaya pada tahun hadapan, mereka akan bertambah matang dan dari situ kita mampu merubah skrip pada musim hadapan,” ungkapnya mengenai harapan beliau untuk saingan musim depan.
Bercakap tentang kekalahan 1-2 kepada Melaka United, Kim Swee berkata, kematangan dan kualiti pemain-pemain pasukan kendalian Zainal Abidin Hassan itulah yang telah membezakan kedua-dua pasukan.