Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee masih berpeluang merebut slot untuk ke peringkat suku akhir Kejohanan AFC B-23 selepas berjaya mengikat Jordan dalam aksi kedua Kumpulan C, Sabtu lalu.
Malaysia berada pada kedudukan ke-4 dengan satu mata, ketinggalan satu mata dengan Arab Saudi dan Jordan, sementara Iraq unggul di kedudukan teratas kumpulan dengan 4 mata.
Semuanya BOLA telah menghubungi Kim Swee untuk bertanyakan serba sedikit mengenai keputusan ketika aksi menentang Jordan dan situasi terkini skuad kendaliannya.
“Keadaan moral pemain begitu baik dan mereka tahu perlawanan esok (hari ini) sangat penting dan dengan kemenangan sahaja yang akan menghidupkan kembali peluang kita ke suku akhir.
“Jadi saya harap mereka terus kekal fokus di mana pujian yang telah diberi tidak akan bermakna jika kita tidak layak,” jelas Kim Swee mengenai keadaan moral terkini pasukannya.
Skuad negara akan turun lewat petang ini menentang Arab Saudi yang telah mencatatkan dua keputusan seri sebelum ini. Untuk layak, skuad muda negara wajib merekodkan kemenangan.
Kim Swee telah ditanya samaada ada latihan khas untuk menajamkan jentera serangannya, dan telah memaklumkan bahawa tiada apa yang mampu dibuat dalam masa yang sesingkat ini.
“Tiada sebarang latihan khas yang boleh saya lakukan dalam masa yang cukup singkat ini kecuali beberapa kelemahan yang perlu kita perbaiki dalam sesi latihan yang akan datang.
“Dan pemain perlu sentiasa bersiap sedia terutamanya sepanjang perlawanan serta tiada lagi ruang untuk kita melakukan kesilapan-kesilapan mudah,” ujarnya kepada Semuanya BOLA.
Dalam aksi menentang Jordan tempohari, Malaysia hampir merekodkan kemenangan dengan menyaksikan sekurang-kurangnya dua percubaan oleh Akhyar Rashid dan Matthew Davies terkena palang.
Selain itu, aksi babak kedua skuad negara cukup berbeza dan bertenaga sehingga berjaya menekan Jordan, malah jika kedua-dua percubaan itu berjaya mengegar jaring, pastinya Malaysia akan meraih mata penuh.
“Banyak lagi yang perlu kita diperbaiki dan kita belum sampai ke tahap sebenar lagi, walaupun peluang kini terbuka untuk kita terus melangkah ke peringkat seterusnya.
“Pemain harus terus kekal fokus untuk terus meningkatkan persembahan,” jelasnya sambil menekankan yang keputusan menentang Jordan cukup memberikan harapan buat skuadnya.
“Tiada apa yang khas disampaikan kepada pemain ketika rehat, hanya beri keyakinan dan kepercayaan,” ujarnya mengenai kata-katanya kepada pemain ketika rehat babak pertama.
Ketika ditanyakan mengenai sekiranya terdapat arahan khas atau ‘istimewa’ kepada beberapa pemainnya ketika aksi menentang Jordan tempohari, Kim Swee pantas menafikannya.
“Tiada istilah ‘istimewa’ dalam kamus bolasepak sebagai satu pasukan,” jelasnya dan turut menyatakan semua pemain diberi tanggungjawab yang sama dan harus dipikul bersama-sama.
Sementara itu, Kim Swee turut memaklumkan beberapa pemain mengalami kecederaan antaranya Akhyar dan Dominic Tan, selain Syameer Kutty dan Syahmi Safari yang mengalami demam ringan.
Dalam aksi menentang Jordan, Akhyar telah dikeluarkan pada minit ke-80 dan digantikan oleh Tommy Mawat, sementara Dominic pula telah digantikan oleh Syazwan Zaipol di penghujung babak kedua.
“Ini terpulang kepada keadaan esok (hari ini), di mana hari ini (kelmarin) kita ada satu lagi latihan sebelum bermain Arab Saudi. Jadi saya akan menilai semua pemain sebelum memutuskan siapa yang akan diturunkan,” ungkapnya.