Melalui satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada hari ini, Ketua Jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon telah memanggil dua pemain pertahanan untuk menyertai kem latihan pusat bagi persediaan menghadapi pusingan kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun hadapan.
Dua pemain yang dipanggil adalah pemain pertahanan Petaling Jaya City FC, V. Ruventhiran dan pemain Terengganu FC, Shahrul Nizam.
Menurut Pan-gon Ruventhiran dipanggil untuk menyertai kem latihan pasukan negara untuk menggantikan Khair Jones yang mengalami kecederaan buku lali ketika beraksi bersama Negeri Sembilan FC dalam perlawanan menentang Kedah Darul Aman FC baru-baru ini.
Ruventhiran, Shahrul Nizam Tersenarai Ke Latihan Pusat Harimau Malaya
▶️ Baca penuh di https://t.co/SUPnqu3rJ8#FAM #HarimauMalaya #ACQ2023 pic.twitter.com/7YVZDA5ji1
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) May 20, 2022
Jika berdasarkan Senarai Bersedia yang dikeluarkan sebelum ini, sepatutnya Arif Fadzilah Abu Bakar dari Terengganu FC yang menjadi penggantian langsung kepada Khair. Namun beliau juga disahkan sedang mengalami kecederaan dan atas sebab itu, saya memilih untuk memanggil Ruventhiran.
Shahrul pula adalah pemain tambahan yang dipanggil pakar taktikal dari Korea Selatan itu untuk melengkapkan senarai skuad negara kepada 30 pemain.
V. Ruventhiran adalah pemain yang pernah beraksi bersama skuad B-23 negara kendalian Brad Maloney di Kejohanan Piala AFF B-23 yang berlangsung di Kemboja pada Februari lalu, namun tidak berada di dalam skuad bagi menghadapi Sukan SEA yang sedang berlangsung di Hanoi.
Shahrul pula pernah mendapat panggilan untuk dua perlawanan persahabatan menentang Jordan dan Uzbekistan pada tahun lalu, namun gagal menghadirkan diri ke kem pasukan negara selepas gagal dihubungi.
Pemain-pemain yang dipanggil kali ini telah diarahkan untuk melaporkan diri sejak semalam, untuk akan memulakan latihan pusat.
Pasukan negara terlebih dahulu akan mengadakan dua perlawanan persahabatan bertemu Brunei pada 27 Mei 2022 dan Hong Kong pada 1 Jun 2022, seterusnya tiga perlawanan Kumpulan E, Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023 bertemu Turkmenistan (8 Jun 2022), Bahrain (11 Jun 2022) dan Bangladesh (14 Jun 2022), kesemuanya akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil.