Belum sempat aksi pertama bagi perlawanan persahabatan membabitkan Malaysia menentang Kepulauan Solomon hari ini, sudah ada cerita tidak sedap untuk didengari dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.
Terbaharu, dilaporkan penyerang berbisa Liga Super musim ini iaitu Shahrel Fikri bakal terlepas aksi sulung beliau musim ini bersama skuad kebangsaan, selepas beliau mengalami kecederaan ketika sesi latihan.
Sesi latihan rasmi skuad Harimau Malaya di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, petang tadi turut disaksikan Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin.
Ia menjelang Perlawanan Antarabangsa Tier 1, Malaysia lwn Kepulauan Solomon, malam esok.#FAM #HarimauMalaya pic.twitter.com/Jb4PU7WuoQ
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) June 13, 2023
Musim ini menjadi sesuatu yang sangat istimewa sebenarnya buat Shahrel selaku salah seorang penyerang utama Negeri Sembilan, serta sudah mencetak beberapa gol bersama pasukan itu.
Aksi konsisten yang dipamerkan itu menyaksikan beliau berjaya menarik minat Kim Pan-gon untuk menyenaraikan Shahrel dalam skuad kebangsaan bagi menengang Kepulauan Solomon serta Papua New Guinea di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak.
Namun, ketika ini Shahrel turut mengalami kecederaan dan ia pasti menggusarkan sedikit Kim untuk mengatur semula taktikal sebelum menyimpulkan kesebelasan utama terbaik negara.
Walaupun begitu, Kim enggan menjadikannya sebagai suatu sisi kelemahan buat Harimau Malaya, kerana yakin pemain ganti akan diturunkan pada aksi ini mampu meneruskan momentum terbaik buat Malaysia terus mencatat kemenangan di pentas antarabangsa.
Malah, Kim juga berharap supaya barisan pemain kendaliannya mampu berusaha dengan lebih keras selain tidak mensia-siakan sebarang peluang bagi aksi malam ini di hadapan ribuan penyokong Harimau Malaya.
Pada masa sama, pengendali dari Korea Selatan itu tetap mengingatkan para penain supaya sentiasa fokus di atas padang, demi mengelak terperangkap dengan jerat permainan pasukan lawan.
“Perlawanan pertama persahabatan pada kali ini berdepan Kepulauan Solomon, masa latihan agak terhad iaitu hanya tiga hari sahaja, apapun latihan berjalan dengan lancar dan saya harap kami dapat berikan yang terbaik.
“Keseluruhan pemain kami berada dalam keadaan cergas dan baik, namun ada dua pemain yang mengalami kecederaan dan perlu kami perhatikan.
“Pada masa sama kami juga masih mencari untuk mengisi posisi penyerang kerana masalah kecederaan yang dialami pemain itu (Shahrel Fikri), namun ia bagus juga kerana dapat mencuba beberapa muka baharu.
Mungkin kita akan mencuba senjata baharu. Apapun tunggu malam esok,” jelas Pan-gon menerusi laporan telah dikeluarkan oleh Harian Metro pada sesi sidang media.
Selain itu, Kim enggan mengulas tentang perkembangan semasa para pemain, sambil memberi kepercayaan penuh untuk semua yang terpilih kali ini.
“Berkenaan dengan pemain, saya tiada komen kerana mereka sentiasa memberikan sepenuhnya untuk negara, selepas ini kita berdepan pusingan Piala Asia di Qatar dan semua lawan kita adalah pasukan yang kuat,” tambah Kim.