Khalid Ali: “Gergasi Asia Pun Ada Pemain Naturalisasi, Kenapa Kita Nak Malu ?”

Bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali menyokong langkah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang berhasrat untuk mengambil seorang atau dua lagi pemain naturalisasi bagi memperkuatkan skuad Harimau Malaya.

Antara pemain yang berada dalam radar FAM ialah pemain import Kuala Lumpur, Guilherme De Paula dan bekas pemain import Kedah, Liridon Krasniqi. Malah, pemain tengah Terengganu, Andrew Lee Tuck turut menjadi sasaran untuk didaftarkan sebagai pemain tempatan berdasarkan susur galur keluarganya yang berasal dari Malaysia.

Namun yang menjadi perbualan hangat dalam kalangan peminat bola sepak tanah air ialah usia pemain tersebut yang dianggap terlalu tua untuk membarisi skuad kebangsaan. De Paulau kini berusia 32 tahun manakala Lee Tuck akan memasuki usia 31 tahun pada 2019.

Mengulas mengenai isu itu dalam Berita Harian, Khalid Ali menyifatkan usia bukanlah masalah utama kerana kedua-dua pemain itu masih mampu menyumbang sesuatu kepada pasukan negara.

“Usia bukan masalah. Mereka cukup profesional bukan saja di dalam padang, malah juga di luar padang. Biasanya pemain import ini akan menjaga pemakanan dan kecergasan diri dengan baik.

“Lagipun, ramai pemain di Eropah yang sudah berusia contohnya seperti Gianluigi Buffon 40 tahun masih lagi kuat. Apapun, saya percaya soal umur bukan isu utama sebaliknya prestasi semasa yang perlu diberi perhatian,” katanya.

Guilherme De Paula (kiri) dan Liridon Krasniqi (Kanan).

Selain De Paula dan Lee Tuck, Liridon Krasniqi disebut sebagai calon sesuai untuk diserapkan ke dalam skuad negara dengan usianya baharu mencecah 26 tahun.

Ketika ini, tonggak Pahang, Mohamadou Sumareh merupakan satu-satunya pemain naturalisasi skuad Harimau Malaya dan sempat beraksi dalam saingan Piala AFF minggu lalu.

Penggunaan pemain naturalisasi adalah untuk tingkatkan kualiti skuad kebangsaan

Sementara itu, Khalid mahu semua pihak melihat kemasukan pemain naturalisasi dari sudut positif terutamanya dalam meningkatkan kualiti pasukan kebangsaan. Ia adalah pelan jangka pendek yang disokong oleh beliau sambil menunggu kelahiran pemain tempatan berkualiti daripada program akar umbi.

“Kita tengok balik ketika Piala AFF baru-baru ini, Sumareh berjaya memperagakan aksi bertenaga dan sanggup bermati-matian sepanjang kejohanan semata-mata demi lencana di dada.

Aksi Sumareh ketika menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO: FAM

“Begitu juga pemain lain seperti Liridon Krasniqi dan Guilherme De Paula, saya percaya mereka juga jika diberi taraf pemain naturalisasi mereka akan bermain bersungguh-sungguh demi Malaysia.

“Sebenarnya tak semua sukakan kaedah naturalisasi ini. Tapi kita kena faham, ia hanya pelan jangka pendek FAM untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak kita.

“Gergasi Asia, Jepun dan pemenang Piala Dunia, Perancis pun gunakan cara ini. Jadi kenapa kita nak malu, sepatutnya kita sama-sama menyokong demi kebaikan pasukan kebangsaan,” katanya.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN