Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin memberitahu media bahawa beliau menentang idea pengunaan pemain naturalisasi dalam pasukan kebangsaan.
Ini selepas beberapa penyokong Malaysia menyuarakan cadangan itu berikutan prestasi hambar skuad Malaysia sejak akhir-akhir ini. Malaysia gagal dalam misi untuk layak ke Piala Asia.
Menurut Khairy, idea menggunakan pemain naturalisasi bukannya penyelesaian kepada masalah bola sepak Malaysia. Malah ia akan mengeruhkan lagi keadaan.
“Kita boleh dapatkan keputusan yang baik dalam masa yang singkat dengan menggunakan pemain naturalisasi, namun itu bukan jalan penyelesaian untuk meningkatkan mutu bola sepak tanah air.”
“Ramai orang kata gunalah pemain naturalisasi, tapi bagi saya itu hanya akan mengeruhkan lagi keadaan.”
Khairy Jamaluddin juga berseloroh dengan meramalkan Malaysia akan beraksi di Piala Dunia pada 2034 sebagai pasukan tuan rumah.
“Dahulu kita ada menyasarkan untuk layak ke Piala Dunia, jadi saya cadangkan pada tahun 2034 kita bida untuk jadi tuan rumah dan pada 2050 kita akan layak ke Piala Dunia kerana kita menjadi tuan rumah bersempena dengan TN50.”
Pemain naturalisasi adalah merujuk kepada pemain yang diberikan hak kewarganegaraan melalui beberapa prosedur termasuk tempoh bermastautin di sesebuah negara.
Buat masa ini, beberapa pemain berdarah campuran bermain di Malaysia dan ada yang mewakili Malaysia. Pemain berdarah campuran berbeza dengan pemain naturalisasi. Ini kerana mereka ada susur galur keturunan orang Malaysia.