Jika Shukor Adan sebelum ini bersuara atas tunggakan gaji oleh pihak Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA), penjaga gol Melaka United, Khairul Fahmi Che Mat sebaliknya pula bersuara atas tunggakan gajinya ketika menyarung jersi Kelantan.
Tunggakan tersebut adalah untuk musim 2015 dan 2016 serta dianggarkan mencecah RM143,000. Selainnya, turut dikatakan menuntut atas tunggakan gaji daripada Kelantan adalah Daudsu Jamaluddin, Zairul Fitree Ishak dan Norhafiz Zamani Misbah.
Tidak dapat dipastikan sama ada Khairul Fahmi menghadapi isu yang sama dengan Melaka United yang kini dirundung masalah gaji musim 2019 yang masih tertunggak sekitar dua bulan.
Bercakap kepada The Star, bekas penjaga gol utama Harimau Malaya itu dipetik berkata isu ini sudah terlalu lama dan masih tiada jalan penyelesaian walaupun sudah membawa ke pihak sepatutnya seperti aduan rasmi dan juga tindakan mahkamah.
“Saya amat berharap KAFA (Persatuan Bolasepak Kelantan) akan melangsaikan ‘hutang’ mereka. Ia telah berlanjutan terlalu lama dan berharap akan ada penyelesaian yang bersesuaian.
“Saya tahu dan faham yang mereka ketika ini di bawah pengurusan baharu tetapi mereka perlu juga mencuba mencari inisiatif untuk selesaikan perkara ini,” ujarnya yang kini berusia 30 tahun.
Sekitar Jun lalu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam dipetik berkata yang pihaknya sedia membantu tetapi aduan perlu dikemukakan kepada Jawatankuasa Status FAM dan Jawatankuasa disiplin FAM untuk diteliti.
Selepas itu, KAFA menerusi Presidennya, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah telah mengeluarkan kenyataan yang pihaknya akan cuba selesaikan isu tunggakan gaji Khairul Fahmi dalam masa terdekat.
Dipetik berkata kepada Berita Harian, Wan Abdul Rahim berkata yang pihaknya tidak akan lari daripada tanggungjawab mereka walaupun ketika itu baru sahaja mengambil alih kepimpinan KAFA.
Namun, nampaknya dengan keluhan penjaga gol berpengalaman itu, KAFA nampaknya masih belum menyelesaikan isu tersebut.
Adakah Khairul Fahmi turut berdepan masalah yang sama dengan Melaka United ketika ini? Ia tidak dijelaskannya dalam berita itu, namun dengan jumlah hutang skuad Hang Tuah yang dikhabarkan mencecah RM8 juta, sudah pasti dirinya turut terkesan.
Kredit Foto: Kamarul Akhir/Asiana