Tiga tahun beraksi bersama di kelab Singapura, Tampines Rovers, Khairul Amri Mohd Kamal dan Ryutaro Megumi akhirnya kembali disatukan apabila kedua-dua pemain tersebut akan membawa cabaran Felda United untuk menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) pada musim depan.
Felda United telah pun mengesahkan penyertaan empat pemain import dengan Khairul Amri terus dikekalkan sebagai pemain import kuota ASEAN sementara Megumi yang berasal dari Jepun pula akan mengisi kuota pemain import Asia.
Megumi, Raspopovic, Velez Trio Import Baharu Felda United – https://t.co/QeFiq1KEJj pic.twitter.com/ripUxiEFum
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) December 20, 2019
Ketika bergandingan di Liga Premier Singapura (SPL) dari 2017 hingga 2019, mereka berdua telah menghasilkan banyak gol dan bantuan jaringan. Hasil kombinasi dua pemain tersebut, 57 gol telah dihasilkan dalam semua pertandingan termasuk ketika berdepan Felda United pada 2017.
Maka tidak hairan mengapa pengendali Felda United, Nidzam Jamil membuat keputusan untuk mendapatkan pemain berusia 26 tahun itu bagi mengukuhkan bahagian serangan skuad The Fighters pada musim depan.
“Apabila kami kehilangan pemain sayap seperti S. Chanturu, kami telah merisik Megumi lebih awal berdasarkan statistik dan corak permainannya di Liga Singapura.
“Saya gemar menggunakan pemain yang bijak memanfaatkan ruang dan mempunyai kemahiran yang tinggi. Megumi ada ciri-ciri itu,” ujar Nidzam ketika dihubungi SemuanyaBOLA.
2017: Ryutaro Megumi assists Khairul Amri to score for Tampines Rovers 𝘢𝘨𝘢𝘪𝘯𝘴𝘵 Felda United.
2019: Felda United sign Khairul Amri.
2020: Felda United retain Khairul Amri, sign Ryutaro Megumi.pic.twitter.com/8qSKkzvCG3— Darren Goon (@DarrenGoon) December 19, 2019
Khairul Amri yang menyertai Felda United pada pertengahan musim lepas telah menjaringkan tujuh gol daripada 10 perlawanan. Kemasukan Megumi sudah tentu akan mewujudkan keserasian yang diperlukan untuk menghasilkan lebih banyak gol pada musim depan.
“Saya gembira untuk terus berjuang bersama Felda United. Saya tidak dapat bermain banyak pada musim lepas kerana mengalami kecederaan, tetapi apabila saya diturunkan, saya akan berikan yang terbaik.
“Ianya bagus bila ada Megumi dalam pasukan. Kami pernah bermain bersama selama tiga tahun dan kami sudah tahu kekuatan masing-masing.
“Kami teruja untuk mengulangi semula kerjasama yang baik semasa di Singapura. Kami percaya boleh melakukannya di Felda.” kata Khairul Amir kepada The Star.
Sekalipun 70 peratus daripada senarai penuh pemain skuad Felda United terdiri daripada pemain muda, Khairul Amri percaya gabungan bersama pemain berpengalaman terutama pemain import akan menghasilkan ramuan terbaik dengan bekerja keras sepanjang latihan dan perlawanan pra-musim.
“Musim lepas, kami terpaksa berjuang sehingga ke perlawanan terakhir untuk mengelak dari tersingkir. Kali ini kami akan berusaha sebaik mungkin dan memberi cabaran yang kuat dalam kejuaraan liga.”
Kredit Foto: Tampines Rovers Football Club