MSN Akan Tetapkan ‘Tanda Harga’ Pelatih AMD

Selepas melihat kejayaan Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) menghasilkan generasi pertama yang berkualiti, Majlis Sukan Negara (MSN) akan melatakkan ‘tanda harga’ kepada semua pelatih akademi itu.

Ini bermaksud bermula tahun depan, mana-mana pasukan yang berminat untuk mendapatkan khidmat graduan akademi elit itu, mereka tidak akan dapat secara percuma atau berunding secara terus dengan keluarga pemain tersebut, tetapi perlu melalui pihak MSN.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail dalam kenyataannya yang dipetik dari Bernama menegaskan, tanda harga itu bukanlah harga jualan pemain, sebaliknya ianya adalah insentif dalam bentuk pampasan kepada akademi,

“Sebelum ini mereka (kelab) lebih banyak berurusan dengan ibu bapa dan keluarga untuk mendapatkan pemain, tetapi kini ia perlu melalui akademi (AMD).

“Insentif ini seperti suatu bentuk pampasan bagi akademi, yang telah berusaha membangunkan pemain itu, dan ia akan digunakan sebaik-baiknya untuk membangunkan pemain baharu lain,” katanya kepada pemberita di AMD di sini, hari ini.

Oleh yang demikian, garaduan AMD tidak boleh lagi diambil oleh mana-mana pasukan secara percuma. Pihak MSN percaya mekanisme baharu tersebut dapat membantu hasrat badan itu untuk melahirkan pemain berkebolehan yang berupaya mewakili negara dan kelab pada masa hadapan.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum ini telah meminta pasukan-pasukan Liga Malaysia (Liga-M) mengambil dan melatih graduan AMD supaya pemain muda yang telah selesai menimba ilmu di akademi tersebut dapat mengembangkan potensi mereka.

Tambah Syed Saddiq lagi, pemain-pemain muda perlu melalui fasa baharu dengan pendedahan secara profesional bersama pasukan atau kelab yang beraksi di kancah tertinggi bola sepak negara.

Dalam peraturan peraturan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), terdapat undang-undang yang telah termaktub di mana setiap akademi berhak ‘menuntut’ pampasan latihan ke atas setiap pelatih di bawah kendalian mereka.

Malaysia yang berada dalam Kategori Tiga berdasarkan ketetapan mengikut konfederasi dan kategori membolehkan akademi menuntut pampasan maksimum AS$10,000 (RM41,813) bagi setiap tahun.

Kredit Foto: NFDP Official

Leave a Reply