Malang menimpa penyerang import baharu skuad FELDA United, Khairul Amri Mohammad Kamal apabila penampilan pertamanya dalam saingan Liga Malaysia musim ini bermula tidak begitu baik apabila mengalami kecederaan di bahagian bahu selepas berlaga dengan pemain import lawan.
Dalam aksi suku akhir kedua Piala FA menentang Kuala Lumpur semalam, beliau terpaksa dikeluarkan pada separuh masa pertama dan mungkin akan direhatkan selama 6 minggu untuk proses pemulihan kecederaannya.
Massive respect to Paolo Josue & Khairul Amri.
Get well soon Khairul Amri. Dijangkakan perlu berehat sehingga 6 minggu akibat retak bahu.
📷: @feldaunitedfc pic.twitter.com/1i2CWlvKCp
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) May 12, 2019
Khairul Amri sebelum ini menyuarakan kebimbangannya terhadap penggunaan nombor 9 pada jersi beliau dalam skuad FELDA United kerana sering membawa nasib yang buruk.
Berdasarkan rekod terdahulu, pemain kebangsaan Singapura itu memiliki sejarah buruk ketika menggunakan nombor itu sewaktu mewakili kelab Indonesia, Persiba Balik Papan, sembilan tahun lalu.
“Sebelum ini, saya juga pernah menggunakan nombor lain tetapi tidak sesuai. Nombor 19 itu merupakan bintang cerah buat saya.
“Namun, saya pernah menggunakan nombor 9 sewaktu dalam Liga Indonesia, namun saya tercedera selepas beraksi baik,” katanya dalam Stadium Astro.
Bagaimanapun Jurulatih The Fighters, Mohd Nidzam Jamil memuji prestasi dan semangat juang yang dipamerkan anak buahnya untuk memastikan pasukan mara ke separuh akhir walaupun tanpa kelibat beberapa pemain utama yang direhatkan.
Selain Khairul Amri, FELDA United turut kehilangan khidmat Hadin Azman dan pemain tengah Jasazrin Jamaluddin yang mengalami kecederaan.
Pada perlawanan suku akhir kedua semalam, FELDA united terikat 0-0 dengan Kuala Lumpur sehingga tamat perlawanan. Mereka layak dengan kelebihan jaringan di tempat lawan dengan agregat 3-3 apabila turut mencatat keputusan seri pada perlawanan pertama, 1 Mei lepas.