Ketua Pegawai Eksekutif Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP), Kevin Ramalingam menepis khabar angin yang tersebar di media sosial kononnya pemain import Pahang, Mohamadou Sumareh didaftarkan selaku pemain tempatan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).
Buat masa ini, Sumareh masih kekal dengan status sebagai pemain import dan tiada sebarang makluman rasmi daripada Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) bahawa pemain itu telah mendapat kerakyatan Malaysia.
“Sumareh didaftar sebagai pemain import dan bukan pemain tempatan. Saya telah mendengar khabar angin sebelum ini tetapi dia adalah pemain import Pahang,” katanya kepada Stadium Astro
Sumareh ketika ditanya oleh Berita Harian, beliau menafikan telah mendapat kad pengenalan Malaysia (IC) dan menjelaskan gambar yang tersebar di laman sosial itu adalah gambar lama ketika bersama peminat.
Pemain yang berasal dari Gambia ini menasihatkan para penyokong agar tidak mempercayai dengan apa yang tersebar di laman sosial dan mengesahkan beliau masih lagi berstatus pemain import untuk skuad Tok Gajah.
“Ia adalah gambar lama ketika bersama peminat dan saya nasihatkan kepada semua pihak supaya tidak percaya dengan berita itu,” jelasnya yang pernah beraksi untuk pasukan PDRM.
Sejak semalam, status Sumareh menjadi perhatian di laman sosial apabila dia dikatakan berada di pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Berikutan itu, ramai netizen menganggap pemain berumur 27 tahun itu mendapat kerakyatan Malaysia.
Difahamkan keluarga Sumareh sudah lama menetap di negara ini. Beliau adalah nama yang tidak asing lagi bagi bola sepak Malaysia. Larian deras yang membuatkan para pertahanan pasukan Liga Malaysia tidak senang duduk.
Memulakan karier di tanah kelahiran beliau, Gambia dengan mewakili kelab Steve Biko. Sumareh kemudian berhijrah ke bumi Malaysia seawal usia 20 tahun dengan mewakili Terengganu FA.
Seterusnya, beliau disambar oleh PDRM sebagai pemain import mereka dan kini menyertai misi kebangkitan pasukan Tok Gajah merampas takhta Liga Super daripada gergasi Selatan, JDT.
Pengalaman selama 6 tahun beraksi di Malaysia menyebabkan pasukan Pahang berminat untuk menjadikan Sumareh sebagai pemain tempatan atas tiket pemain naturalisasi.