Ketua Umum (Ketum) Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) iaitu Erick Thohir menafikan segala laporan yang menyatakan beliau terlibat dengan perbincangan untuk mendapatkan khidmat bekas jurulatih kebangsaan Vietnam, Park Hang-seo.
Sebelum itu, tular di media sosial mengenai perkhabaran Park akan sertai Indonesia selaku jurulatih pasukan kebangsaan tersebut bagi menggantikan khidmat pengendali semasa iaitu Shin Tae-yong.
Media Vietnam Klaim PSSI Kontak Park Hang Seo untuk Gantikan STY https://t.co/uItGDl0Z6F
— CNN Indonesia (@CNNIndonesia) April 13, 2023
Namun, ianya kini dinafikan oleh Erick dengan menyatakan tidak pernah menyuarakan perkara tersebut kepada mana-mana saluran mengenai khabar tersebut.
“Sehingga kini, saya tidak pernah bercakap atau berbincang dengan sesiapa pun, demi Allah. Mana-mana jurulatih pun saya tak pernah bercakap lagi sehingga kini,” jelas Erick menerusi CNN Indonesia.
Sebelum itu, dilaporkan menerusi media Vietnam mengenai PSSI sudah bersedia untuk menandatangani kontrak Park dengan nilai gaji dua kali ganda berbanding sebelum itu.
Selain Erick, Exco PSSI iaitu Arya Sinulingga juga turut menafikan perkara berkenaan dengan menyatakan organisasi itu tidak pernah mengadakan perbincangan mengenai jurulatih baharu untuk sertai Indonesia.
“Segala berita yang tersebar di media sosial itu tidak benar sama sekali. Sehingga kini belum ada perbincangan dalaman sesama anggota PSSI mengenai perlantikan jurulatih baharu,” ulas beliau.
Sehingga kini, posisi jurulatih utama Indonesia menjadi perbualan hangat sesama para penyokong di negara tersebut, setelah kontrak Shin dilaporkan bakal tamat pada penghujung tahun 2023.
Tanda tanya mula timbul dalam kalangan para penyokong Indonesia mengenai kontrak jurulatih dari Korea Selatan itu akan disambung atau tidak pada masa akan datang.
Ini kerana, tugas Shin untuk mengendalikan Piala Dunia bawah 20 (B-20) sudah pun tamat lebih awal, dan aksi Piala Asia akan bermula pada tahun hadapan yang menyaksikan Indonesia turut terlibat.
“Untuk info, kontrak Shin bersama Indonesia masih lagi ada sehingga pada penghujung tahun ini, tetapi aksi Piala Dunia B-20 sudah pun dibatalkan untuk Indonesia.
“Disebabkan itu, kami akan bertemu Shin sendiri untuk mengadakan perbincangan masa depan jurulatih tersebut bersama Indonesia jika kerjasama masih berjalan lancar,” tambah Erick.
Shin boleh dianggap berjaya membawa arus perubahan baharu dalam dunia bola sepak Indonesia, selepas negara tersebut tampil dengan corak permainan lebih baik sejak beliau mengambil tugas selaku jurulatih.
Erick Thohir: Demi Allah, Saya Tak Pernah Bicara dengan Park Hang Seo https://t.co/gojSyhM9OA
— CNN Indonesia (@CNNIndonesia) April 13, 2023
Selain menaikkan mutu bola sepak Indonesia, Shin juga berjaya memperkenalkan lebih banyak muka-muka baharu di pentas antarabangsa sehingga menjadikan negara tersebut kembali sebagai antara berpengaruh di Asia Tenggara.