Pengurus skuad Melaka United, Datuk Yusoff Mahadi mengesahkan pemain tengah import pasukan itu, Liridon Krasniqi menangguhkan kepulangannya ke negeri itu kerana masih menjalani rawatan pemulihan kecederaan paha.
Bercakap dalam Harian Metro, Yusoff berkata pemain dari Kosovo itu sepatutnya menyertai sesi latihan pasukan semalam dan dijangka beraksi menentang bekas pasukannya Kedah di Stadium Hang Jebat, Ahad ini namun kelibatnya masih tidak kelihatan.
Difahamkan Liridon atau disapa sebagai ‘Mat Don’ memaklumkan kepada barisan jurulatih mengenai berita itu namun tidak menyatakan tarikh tepat bila dia akan kembali memperkuatkan skuad Hang Tuah itu.
“Apa pun kami masih sabar menanti. Bila itu tidak pasti. Apa pun kami belum cemas dengan berita ini dan mengharapkan pemain lain mampu terus memberi persembahan terbaik dalam memenuhi misi perjuangan mengatasi Helang Merah.
“Sememangnya kami agak merasai ketiadaannya sejak empat perlawanan lalu hingga prestasi pasukan kelihatan merudum seolah-olah khidmatnya terlalu diperlukan,” katanya.
Ketiadaan Liridon di bahagian tengah jelas dirasai selepas pasukan itu gagal mencatat sebarang kemenangan dalam lima perlawanan berturut-turut. Terbaharu, skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan itu tewas 0-1 kepada PKNP FC dalam saingan Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Manjung hasil jaringan sendiri Ahmad Khuzaimi Piee.
Malah, mereka turut tersingkir daripada saingan Piala FA selepas tewas 2-3 kepada PKNS dan 3-4 kepada Selangor dalam perlawanan Liga Super di hadapan penyokong sendiri.
Situasi itu mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong mereka sehingga terdapat spekulasi yang mengaitkan masalah dalaman sebagai punca utama kemerosotan prestasi pemain Melaka United.