Ketelitian gerak kerja dapat dilihat daripada perkongsian Kim Pan-gon di sidang media genap setahun dirinya dilantik pengemudi Harimau Malaya.
Sidang media itu dilangsungkan pada pertengahan Februari lalu dan beliau membuat sedikit perkongsian tentang bagaimana kehidupannya selama setahun di Malaysia serta turut dikongsikan tentang perancangan pasukan.
Apa yang menarik dalam perkongsian ringkasnya adalah cara bagaimana untuk beliau cuba mengekalkan Malaysia di kedudukan ke-25 Asia.
Kenapa kita perlu elak turun ke ranking ke-26 dan ke bawah? Di mana kedudukan kita pada ketika ini? Apa perancangan beliau ketika ini?
Kim Pan-gon: Kita buru pasukan-pasukan yang kuat
“Kita sedang merancang perlawanan yang kompetitif. Untuk itu, kita telah menghantar banyak surat jemputan dan mencari pasukan-pasukan yang kuat [untuk persahabatan],” ujarnya dalam sidang media tersebut mengenainya.
Dan di sidang media tersebut beliau memaklumkan tentang aksi berdepan pasukan yang berada di ranking hampir dengan Malaysia iaitu Turkmenistan dan Hong Kong. Kedua-dua aksi telah pun berlangsung, baru-baru ini.
Keputusan Masa Penuh
Perlawanan Antarabangsa Tier 1 | Selasa, 28 Mac 2023
MALAYSIA 🇲🇾 2-0 🇭🇰 HONG KONG
⚽️ Akhyar Rashid 18' Faisal Halim 41'#FAM #HarimauMalaya pic.twitter.com/hkVAKHd72C
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) March 28, 2023
Malaysia menang kedua-dua perlawanan dengan kemungkinan akan berlaku perubahan ranking yang lebih menarik pada bulan April nanti.
Jika dilihat pada ranking FIFA, kedua-dua pasukan ini mengapit Malaysia di kedudukan ke-25 Asia – Turkmenistan ranking ke-24 dan Hong Kong (26).
Walaupun dikongsikan misi kedua-dua pasukan bertemu Malaysia adalah untuk membalas dendam atas kekalahan sebelum ini, tetapi mungkin aksi ini adalah untuk keluarkan Malaysia dari kelompok tersebut – memotong Turkmenistan sukar, tetapi sekurang-kurangnya tidak dipintas Hong Kong.
Dijangka untuk kemaskini April, Malaysia akan menjarakkan diri daripada Hong Kong – 25 mata berbanding hanya empat mata, sebelum ini. Tambah menarik, kita akan menghampiri Turkmenistan dengan perbezaan 12 mata.
Ini kesan menang pertembungan dengan dua pasukan yang terhampir.
And hear his explanation of why he has come up with such friendly plans and the aim to stay top 25 in Asia. pic.twitter.com/u4OJQcrVrj
— T. Avineshwaran (@avineshW90) February 20, 2023
Pentingnya angka 25 pada ranking Malaysia
“Kita menjangkakan apabila kita dapat kekalkan kedudukan ke-25 Asia, kita akan terus mara ke peringkat kumpulan pusingan kelayakan Piala Dunia selepas ini. Sekarang kita di ranking ke-25, kita pernah di kedudukan ke-26 dan Hong Kong di atas. Kita sedang mengukuhkan kedudukan,” ungkapnya.
Sangat jelas yang Kim bukan hanya memandang persediaan ke Piala Asia untuk merancang aksi persahabatan, malah turut mengambil kira pusingan kelayakan Piala Dunia 2026 – dijangka bermula pada Oktober depan.
Jadi, kedudukan ke-25 ketika ini sangat penting buat Harimau Malaya.
Dan, selepas dua perlawanan pada Mac, ranking mereka tidak terjejas.
Berdasarkan rancangan Kofenderasi Bolasepak Asia (AFC) yang dikeluarkan pada Ogos 2022, untuk pusingan pertama kelayakan Piala Dunia itu nanti, ia akan melibatkan 22 pasukan yang di ranking ke-26 hingga ke-47 Asia.
Kim mahu pastikan Malaysia tidak bermula daripada pusingan pertama. Ia satu perjalanan yang memenatkan yang tentunya semakin berliku-liku.
Jika sebelum ini Asia memiliki empat pusingan kelayakan, untuk Piala Dunia selepas ini, ia akan menjadi lima pusingan. Ini disebabkan penambahan kouta pasukan yang bakal mara ke Piala Dunia – slot Asia 8+1 pasukan.
Malaysia konsisten bermula di pusingan kedua sejak pusingan kelayakan edisi 2014, jadi jika jatuh ke kedudukan ke-26 Asia, pusingan 1 menanti.
Harimau Malaya terus diperkasa aksi berkualiti
Pada Ogos tahun lalu, ketika format baharu ini diumumkan, Malaysia berada di kedudukan ke-26 – di belakang Hong Kong. Dan salah seorang Ahli Eksekutif FAM, Christopher Raj di akaun Twitternya memetik kenyataan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin.
“Pasukan ini akan terus dipersiapkan untuk Piala Asia yang akan berlangsung samada 2023 atau 2024. Malaysia akan lalui dua perlawanan persahabatan pada September. Lawan kita bukan lagi Laos dan lain-lain. Kita akan cari lawan yang lagi tinggi ranking.”
Ia kini selari dengan kenyataan Kim yang mengatakan pihaknya sudah menghantar pelawaan untuk aksi persahabatan kepada pasukan yang kuat.
Bermula pada September, Malaysia menyertai kejohanan jemputan anjuran FA Thailand, King’s Cup dan berpeluang menentang Thailand dan Tajikistan. Kemudian mereka telah bertemu dengan Kemboja dan Maldives sebagai persediaan ke Piala AFF 2022. Di kejohanan itu, Malaysia mara hingga ke separuh akhir dan secara realistiknya telah mendapat perlawanan berkualiti.
Kemudian pada bulan Mac, dalam dua perlawanan di jendela perlawanan antarabangsa, Malaysia memilih bertemu Turkmenistan dan Hong Kong.
Dalam pada itu, menurut perkongsian wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, Harimau Malaya akan menjadi tuan rumah dalam dua aksi persahabatan pada Jun depan berdepan Yaman dan Solomon Islands.
Next Solomon Islands & Yemen! 🇸🇧🇾🇪Persiapan skuad negara ke Piala Asia 2023 akan diteruskan dengan dua lagi aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 dalam kalendar FIFA pada Jun nanti. Venue belum comfirm tapi yang pasti kat Malaysia!
📸 @FAM_Malaysia pic.twitter.com/4DSgTKhMFF
— Zulhelmi Zainal Azam (@zulhelmizainal1) March 29, 2023
Semua aksi persahabatan di laman sendiri?
Yaman mungkin pasukan yang berada di ranking bawahan, tetapi Malaysia perlu mencari lawan dari Tanah Arab untuk beradu tenaga selepas Oman dan Syria mungkin menolak pelawaan untuk perlawanan di jendela Jun.
Kenapa perlu bertemu pasukan dari sana? Kita tahu keampuhan pasukan-pasukan dari Arab dan ia sangat membantu menguji kekuatan kita.
Ia juga merupakan satu pendedahan yang baik. Selepas Yaman dan Solomon Islands, mereka bakal menanti kunjungan Lubnan dan Palestin.
Lubnan dan Palestin akan memeriahkan kejohanan jemputan, Pestabola Merdeka bersama India dan ia dijangkakan akan berlangsung Oktober.
Apa yang menariknya adalah semua perlawanan persahabatan sejak Kim mengambil alih pada awal tahun 2022 berlangsung di gelanggang sendiri. Dan ia berterusan hingga ke hujung tahun ini – sebelum bermula Piala Asia.
Menurut kenyataannya, “Seingat saya, aksi di laman sendiri sejak Mac lalu meraih keputusan positif, hanya tewas kepada Bahrain sahaja. Ini adalah kubu kami, jadi sesiapa yang datang ke sini, kita akan cuba tewaskan.”
Ketua jurulatih negara Kim Pan-Gon memasang hasrat menjadikan perlawanan antarabangsa yang dimainkan di tanahair sebagai suatu tugasan yang mendebarkan untuk pihak lawan yang bertandang ke sini.https://t.co/T3ediQ2KOi
— Shoot! (@ShootAppMy) March 29, 2023
Tambahnya, beliau mahu menjadikan aksi di laman sendiri memberi kesan yang bermakna buat anak buahnya dalam membina keyakinan mereka.
“Apa yang penting adalah kami mahu jadikan laman sendiri sebagai kubu yang kukuh dan meneruskan rentak kemenangan di sini,” tambahnya.
Di sini kita dapat lihat yang mereka hanya akan keluar dari Malaysia apabila terlibat dengan apa-apa kejohanan sementara untuk aksi persahabatan, halaman sendiri menjadi sandaran dalam membina keyakinan pemain.
Jadual yang sangat padat buat Harimau Malaya dan Kim perlu memulakan gerak kerja dalam usaha mengukuhkan skuad yang kembali membuat penampilan di Piala Asia selepas kali terakhir tampil pada edisi 2007.
Penampilan kali ini tentunya tidak mahu diwarnai dengan kegagalan.
Dengan ketelitian gerak kerja Kim Pan-gon dan rakan-rakannya di barisan kejurulatihan, mereka sudah berjaya memberi satu suasana yang menarik sepanjang persediaan Harimau Malaya ini disamping terus mengukuhkan kedudukan ke-25 Asia. Malaysia sudah berani turun menentang ‘Asia Big Boys’ dengan taktikal yang agresif dan bertenaga, tidak lagi defensif.