Quantcast

BERITA

Kes Rogol Ronaldo Belum Tamat, Pendakwa Gugur Untuk Tukar Mahkamah

Pendakwaan kes rogol terhadap Cristiano Ronaldo kini memasuki episod baru selepas ianya digugurkan oleh mahkamah di Nevada – tetapi ia sebenarnya tidak selesai di situ.

Dalam perkembangan terbaru, peguam kepada Kathryn Mayorga – wanita yang dikatakan menjadi mangsa rogol oleh Ronaldo – bertindak mengugurkan kes di mahkamah Nevada untuk membenarkan ia difailkan di Mahkamah Persekutuan Amerika Syarikat.

Semalam, kebanyakkan laporan media memetik penguguran kes rogol membabitkan bintang Portugal dan Juventus, Cristiano Ronaldo telah mengakhiri pendakwaan terhadap pemain tersebut.

Tampil melakukan penjelasan kepada ESPN, salah seorang peguam yang mewakili Mayorga, Larissa Drohobyczer berkata tindakan tersebut terpaksa dilakukan kerana kesukaran mahkamah menyerahkan notis kepada Ronaldo yang kini menetap di Itali.

“Pendakwaan itu tidak digugurkan. Kes itu dibatalkan untuk membenarkan kami membawa ia ke mahkamah persekutuan, Ia berkaitan dengan peraturan oleh mahkamah terhadap tertuduh yang bukan warga Amerika Syarikat.

“Secara dasarnya, kami hanya bertukar mahkamah untuk melakukan pendakwaan,” ujar beliau.

Sumber kepada ESPN juga berkata agensi milik Ronaldo yang mengikuti perkembangan kes ini, Gestifute tidak tahu menahu mengenai pengguguran dan pemfailan semula kes ini.

Kathryn Mayorga, bekas peragawati yang kini sudah berusia 34 tahun sebelum ini memfailkan kes terhadap Ronaldo mendakwa dirinya pernah dirogol oleh bekas pemain Real Madrid itu.

Ronaldo dan Mayorga dilaporkan pernah berunding di luar mahkamah untuk kes ini.

Namun Mayorga melakukan ‘dramatic u-turn’ kerana merasakan adalah lebih baik kes itu dibawa ke pengadilan.

Ini yang membuatkan kes ini menjadi ‘panas’ kerana Mayorga dikatakan mengkhianati perjanjian.

Berdasarkan laporan, Mayorga pernah dibayar sekitar $518,000 (£287,000) untuk tidak mengenakan sebarang caj jenayah terhadap Ronaldo.