Doping: Jadikan Kes Syihan Hazmi Sebagai Iktibar, Wajar Dibendung Agar Tidak Menjadi Barah

Pada 28 Februari lalu, Setiausaha Agung, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan sampel B ujian doping penjaga gawang skuad B-23 tahun negara, Ahmad Syihan Hazmi tetap positif.

Syihan telah diuji positif metabolite methandienone dan mengakui telah mengambil makanan tambahan berbentuk protein yang mungkin menjadi penyebab kepada kegagalan ujian tersebut.

Permohonan ujian sampel B telah dilakukan Syihan selepas menafikan pengambilan bahan terlarang dan telah membuat permohonan itu selepas disahkan positif untuk sampel A.

Atas kesalahan penggunaan bahan terlarang seperti yang termaktub oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Syihan boleh berdepan hukuman penggantungan dua hingga empat tahun.

Ujian doping di Liga M tidak menyeluruh

Pada pertengahan Februari lalu, Syihan telah digantung untuk tempoh 60 hari dan pihak AFC ketika ini dalam proses siasatan serta keputusan akan dibuat selepas sampel B diuji.

Ujian doping tersebut dilakukan ketika Kejohanan AFC B-23 di China, Januari lalu, di mana Syihan turut berada di dalam skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee, walaupun tidak beraksi.

Syihan Hazmi dan Amierul Hakimi. Foto: Facebook TRWFC

Berdasarkan laporan Berita Harian, untuk Liga Malaysia (Liga M), FAM tidak menjalankan ujian doping secara menyeluruh dan hanya menjalankannya secara rawak ke atas pemain-pemain.

Dan menurut laporan itu lagi, selalunya ujian doping tersebut akan dilakukan oleh FAM selepas kejohanan-kejohanan penting seperti Piala FA dan Piala Malaysia.

Kim Swee ketika mengulas isu ini telah mencadangkan agar ujian doping turut dijalankan ke atas pemain B-21 dan B-19 yang sedang beraksi dalam Piala Presiden dan Piala Belia.

“Ini sebagai pendedahan dan peringatan awal kepada mereka,” ujar Kim Swee kepada Harian Metro apabila diminta mengulas mengenai ujian doping terhadap pemain di Malaysia.

“Kita tahu ujian doping ini memerlukan kos agak besar tapi kita perlu melakukan sesuatu untuk mencegahnya.

“Kerana mungkin ada pemain yang mengambil makanan tambahan bukan ketika kejohanan tapi sebelum itu lagi,” tambahnya lagi.

Perkara itu turut dipersetujui oleh Pengurus skuad Piala Presiden Selangor, Datuk Ariffin Abdul Hamid yang menegaskan ujian ini perlu bermula dari peringkat awal iaitu skuad muda.

Kes-kes di Liga Malaysia

Pada musim 2016, dua pemain Liga Super telah digantung untuk tempoh dua tahun oleh FAM selepas gagal ujian doping iaitu seorang pemain daripada PDRM dan Perak.

Pemain tersebut adalah Muhammad Shafiq Jamal dari pasukan PDRM dan Muhammad Firdaus Saiyadi (Perak) yang digantung dari 9 Jun 2016 hingga 8 Jun 2018.

Shafiq Jamal (PDRM) dan Muhammad Firdaus Saiyadi (Perak). Foto: NSTP.

Kedua-dua pemain telah diuji positif D-methamphitamine dalam perlawanan Liga Super antara PDRM dan Perak di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 4 Mei 2016.

Sebelum itu, pada musim 2013, pemain Kelantan, Zamri Ramli pernah digantung selama dua tahun akibat pengambilan dadah jenis methamphetamine ketika final Piala FA.

AFC baru-baru ini melalui Setiausaha Agungnya, Datuk Windsor Paul John telah memohon FAM untuk memainkan peranan lebih proaktif berhubung isu ini.

Menurut Windsor, para pemain perlu dijelaskan dan didedahkan lebih awal iaitu di peringkat saingan domestik berkenaan penggunaan bahan larangan atau tambahan.

Adakah ianya isu terpencil?

Mungkin isu doping dikalangan pemain bola sepak di Malaysia nampak terpencil, namun berdasarkan pendedahan penganalisa bola sepak, Stanley Bernard Samuel, FAM wajar mengambil serius.

Pada 2013, Stanley yang juga bekas pemain Kuala Lumpur mendedahkan kepada Astro Awani, terdapat ramai lagi pemain bola sepak di Malaysia mengambil bahan terlarang.

Menurutnya, ianya dilakukan oleh para pemain samaada dalam keadaan sedar atau tidak sedar, seperti makanan tambahan bertujuan untuk mendapatkan tenaga tambahan.

Stanley Bernard. Foto: The Star.

Ini kerana, menurut Stanley, kebanyakan pemain di Malaysia tiada pengetahuan dan kesedaran mengenai perkara ini serta mereka tidak tahu mengenai makanan tambahan yang sesuai.

Oleh yang demikian, FAM wajar mengambil inisiatif dan menggandakan usaha untuk menyedarkan para pemain di Malaysia mengenai perkara ini.

FAM perlu melihat isu ini dengan lebih mendalam selepas pendedahan oleh Stanley pada 2013 serta permohonan AFC untuk FAM lebih proaktif terhadap isu ini.

Apa itu doping?

Doping adalah penggunaan bahan atau kaedah terlarang oleh atlet untuk meningkat prestasi mereka. Ujian doping dilaksanakan bagi memastikan atlet bersih daipada penggunaan bahan terlarang.

Seperti yang dinyatakan oleh Stanley sebelum ini, para pemain samaada secara sedar atau tidak sedar ketika dalam proses pengambilan bahan terlarang tersebut.

Ini kerana, sesetengah pemain mengambil makanan tambahan untuk membina otot sebagai contoh, mungkin telah mengambil bahan terlarang tanpa sedar.

Dengan lambakan pelbagai bahan makanan tambahan dan ubat-ubatan di pasaran kini juga menyumbang kepada bahan-bahan tersebut diambil tanpa sedar oleh pemain.

Terdapat beberapa sebab bahan-bahan tersebut dilarang atau diharamkan kepada pemain antaranya bahan tersebut boleh mendatang kesan tidak baik kepada kesihatan pemain.

Selain itu, daripada segi etika, para pemain akan menjadi ‘hebat’ atau ‘luar biasa’ atas sebab bantuan daripada bahan-bahan terlarang. Adakah ianya suatu yang beretika?

Bagaimana ujian doping dilaksanakan?

Terdapat dua kaedah ujian doping yang dijalankan oleh pihak berkuasa iaitu ujian saringan air kencing (urin) atau ujian sampel darah bagi mengesan 400 jenis bahan terlarang itu.

Oleh kerana terdapatnya pelbagai cara pengambilan bahan terlarang antaranya pil, suntikan atau pertukaran darah, dua kaedah yang disebut di atas akan digunakan.

PENGARAH Pusat Kawalan Doping, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Mohamed Isa Abd Majid. – Foto Danial Saad.

Bercakap ketika Berita Harian pada 2015, Pengarah Pusat Kawalan Doping, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Mohamed Isa Abd Majid turut menjelaskan isu ini.

“Ujian biasanya akan dilakukan sebelum atau ketika pertandingan bagi mengesan pengambilan bahan yang dilarang oleh Agensi Antidoping Antarabangsa (WADA) antaranya steroid, diuretik dan betablocker,” ujarnya.

Menurut Mohamed Isa, proses ujian air kencing perlu dilakukan dengan teliti dan dapat dijalankan dalam tempoh 24 jam untuk mengetahui samaada ianya positif atau negatif.

Perbezaan kaedah sampel A dan B

Bercerita kepada Berita Harian, Pensyarah Kanan, Pusat Kawalan Doping USM, Dr Mohd Nazri Ismail menyatakan mereka akan menerima dua sampel air kencing yang dilabel sebagai A dan B. Identiti atlet itu tidak akan diketahui.

“Pusat doping hanya menerima sampel A dan B atlet dalam keadaan beku dan kami akan pastikan botol berkenaan tidak mempunyai tanda-tanda ia tercemar.

“Seperti ada cubaan untuk membuka penutup botol itu. Sekiranya, terdapat tanda ianya tercemar, ujian berkenaan tidak akan dijalankan,” jelas Nazri.

Menurut Nazri, ujian akan menggunakan mesin LCMSMS bagi bahan meluap dan GCMSMS untuk mengesan bahan tak meluap dan sampel akan diesktrak terlebih dahulu.

Sampel A akan diuji terlebih dahulu dan selepas mendapat keputusan ujian tersebut melalui graf yang tertera pada alat tersebut, keputusan akan dihantar kepada penganjur.

Dan jika sampel A didapati positif, baharulah ujian sampel B akan dijalankan, dan menurut Nazri, ia akan dilakukan di hadapan atlet itu sendiri, bagi menunjukkan ketelusan ujian itu.

Pemain bola sepak luar negara yang pernah gagal ujian doping

Contoh terdekat pastinya kes terbaharu melibatkan bekas pemain Arsenal dan Manchester City, Samir Nasri yang telah dijatuhkan hukuman gantung enam bulan selepas gagal ujian doping.

Samir Nasri didapati bersalah selepas didapati terdapat kandungan terapeutik (TUE) dalam darahnya ketika beraksi secara pinjaman bersama Sevilla pada 2016.

Menurut laporan The Guardian, kes ini berpunca daripada rawatan memasukkan cecair ke dalam badan pemain itu di sebuah klinik di Los Angeles selepas berasa tidak sihat sewaktu bercuti.

Selain itu, pada 2001, pengurus Manchester City, Pep Guardiola juga pernah gagal dalam ujian doping ketika beraksi bersama kelab Serie A, Itali, Brescia.

Pep Guardiola bersama Brescia. Foto: GRAZIA NERI.

Guardiola diuji positif steroid nandrolone selepas kekalahan besar 0-5 kelab baharunya itu kepada Lazio. Reputasinya bersama Barcelona sebelum itu sedikit terjejas.

Namun pada 2007, dia telah dibebaskan oleh FA Itali dan perlu buktikan dirinya tidak bersalah selepas Pusat Antidoping Itali membuka semula kes tersebut.

Dua tahun kemudian, Pep Guardiola akhirnya dibuktikan tidak bersalah dan telah dibebaskan dari semua pertuduhan oleh Pusat Antidoping Itali.

Selain dua nama di atas, terdapat ramai lagi pemain bola sepak yang pernah gagal dalam ujian doping antaranya Kolo Toure pada 2011, Jaap Stam (2001) dan Andrian Mutu (2004).

Penutup

Penggunaan bahan terlarang bukanlah semata-mata melibatkan atlet atau pemain bola sepak negara sahaja, malah ia sebenarnya adalah isu antarabangsa.

Walaupun isu ini jarang didengar melibatkan pemain bola sepak di negara kita, namun pihak berkuasa wajar membendung perkara ini lebih awal agar ia tidak menjadi ‘barah’ di masa hadapan.

FAM bukan hanya perlu mengadakan ceramah atau taklimat mengenai isu ini, ujian berkala atau menyeluruh wajar dimasukkan dalam senarai tugas badan pentadbir bola sepak negara itu.

Ya, FAM ada dan telah menjalankan taklimat mengenai perkara ini, namun sejauh mana taklimat dan ujian tidak menyeluruh ini membantu membendung gejala atau isu doping ini?

Para pembaca juga boleh berkongsi bersama kami sekiranya anda merasakan bahawa isu ini wajar dipandang serius oleh pihak FAM, mahupun FMLLP.

Sila kongsikan bersama kami pendapat dan mungkin penyelesaian yang boleh dilakukan oleh FAM dan FMLLP berhubung isu ini.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN