Mungkin Perlis FA (PFA) hanya beraksi dalam Piala FAM, namun setakat ini, Singa Utara dilihat semakin maju ke depan berbanding pasukan-pasukan lain termasuklah yang bersaing di Liga Super.
Terbaharu, laman Facebook rasmi pasukan, NorthernLions Perlis telah mengumumkan pelantikan syarikat penyedia jualan tiket atas talian, Stubapp sebagai rakan strategik pasukan.
Perjanjian 3 tahun antara kedua-dua entiti tersebut telah ditandatangani oleh Presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie dan CEO Stubapp, Faisal Karim pada 4 Disember lalu.
Hasil perjanjian ini, bermula pada perlawanan persahabatan menentang Pulau Pinang, para penyokong sudah boleh membeli tiket perlawanan secara atas talian melalui aplikasi tersebut.
Untuk memudahkan pembelian tiket, pihak PFA turut menasihati dan memohon para penyokong Singa Utara agar memuat turun aplikasi Stubapp melalui AppStore atau Google Play.
Kaedah pembelian dan penggunaan tiket ‘maya’ turut ditunjukkan menerusi muat naik video oleh pihak PFA. Kemasukkan ke stadium adalah menggunakan kod QR yang akan didapati selepas pembelian tiket. Rujuk link ini.
Selain itu, menurut laporan tersebut, jualan tiket secara fizikal turut akan diteruskan seperti biasa dan akan diumumkan kemudian.
Langkah ‘garang’ Perlis ini mengejutkan banyak pihak sejurus Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie mengambil alih pucuk kepimpinan PFA bermula pada Oktober yang lalu.
Perubahan demi perubahan dapat dilihat sehingga menyaksikan pasukan dari utara tanah air itu berjaya mendapatkan tandatangan beberapa pemain ‘ada nama’ seperti Badri Radzi dan Safee Sali.
Stadium Tuanku Syed Putra yang kian sunyi kembali meriah dan bernyawa pada perlawanan persahabatan menentang seteru utara mereka, Kedah yang menyaksikan ia kembali dilimpahi penyokong.
Hasilnya, Derbi Utara itu telah dimenangi oleh Singa Utara dengan keputusan mengejut 3-1 menerusi jaringan Hafizi Amirudin, Safee Sali dan juga Nazrin Samsul Baharin.
Selain itu, pihak PFA bersama Stubapp kini dalam proses untuk memperkenalkan kad keahlian dan juga pas bermusim untuk para penyokong Biru Kuning dalam saingan musim 2019 ini.
Untuk makluman, bagi menjawab desas-desus, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam menafikan bahawa Perlis sudah dinaikkan pangkat ke Liga Premier.
Menurut Kevin, status pasukan-pasukan yang akan beraksi dalam kancah Liga Super dan Liga Premier pada musim depan hanya akan diketahui paling awal pada Khamis ini.