‘Keras & Fleksibel’ – 3 Kualiti Skuad Indonesia Kendalian Shin Tae-yong Yang Perlu Diatasi Malaysia

Berjaya mengikat Vietnam tanpa jaringan berjaya memberi sedikit kelebihan kepada pasukan Indonesia berbanding Malaysia di dalam saingan Kumpulan B untuk layak ke separuh akhir Piala AFF 2020.

Selepas tiga perlawanan, Indonesia berjaya meraih 7 mata hasil dua kemenangan dan satu seri dan kekal berada di kedudukan teratas kumpulan.

Vietnam pula dijangka tidak berhadapan masalah untuk mengatasi Kemboja dalam perlawanan terakhir kumpulan untuk memburu slot ke separuh akhir.

Ini bermakna Malaysia yang hanya memiliki enam mata – selepas tewas 3-0 kepada Vietnam – wajib menewaskan Indonesia untuk turut berpeluang mara ke separuh akhir.

Rekod pertemuan

Sejak dikendalikan oleh Tan Cheng Hoe, skuad Harimau Malaya sebenarnya memiliki rekod keseluruhan yang lebih baik setiap kali bertemu Indonesia.

Dua pertemuan sebelum ini di pusingan kelayakan Piala Asia/Piala Dunia pada 2019 menyaksikan pasukan negara menjinakkan pasukan negara jiran itu dengan jaringan 3-2 di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta dan 2-0 dalam perlawanan timbal balik di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Namun sejak diambil alih oleh Shin Tae-yong, Indonesia dianggap memiliki kualiti yang berbeza. Gandingan pemain muda dan berpengalaman yang dikumpulkan oleh jurulatih dari Korea Selatan itu setakat ini berjaya memberikan impak yang positif di Piala AFF 2020.

Selepas tiga perlawanan, skuad Garuda telah menghasilkan 9 gol dan dibolosi oleh 3 jaringan sahaja. Pasukan Malaysia pula hanya merekodkan 7 gol dan dibolosi sebanyak 4 kali.

Berikut antara kualiti-kualiti skuad Indonesia berbanding pertemuan dengan Malaysia pada 2019 yang harus diambil perhatian oleh barisan pemain dan jurulatih skuad Harimau Malaya.

1. Sistem yang fleksibel

Di bawah kendalian Shin Tae-yong, skuad Indonesia ini boleh beraksi di dalam sistem yang lebih fleksibel bergantung kepada kekuatan dan kelemahan lawan yang dihadapi.

Menentang pasukan yang lebih lemah seperti Laos dan Kemboja misalnya, Indonesia turun dengan sistem empat pemain pertahanan di dalam sistem 4-4-2/4-4-1-1.

Ia tampak logik kerana Indonesia mensasarkan jumlah jaringan yang lebih banyak menentang pasukan yang lebih lemah untuk mencari kelebihan gol.

Tetapi menentang pasukan yang lebih superior seperti Vietnam, mereka mengubah pendekatan tersebut dan membariskan lima pemain pertahanan.

Sistem 5-4-1 yang digunakan oleh Shin Te-yong dalam perlawanan ini nyata berkesan menyekat kepantasan pemain Vietnam – khususnya untuk meneutralkan ancaman lawan di bahagian sayap.

Shin Tae-yong berkemungkinan akan menggunakan sistem 4-4-2/4-4-1-1 dalam perlawanan menentang Malaysia nanti dalam usaha mencari gol awal untuk mendapatkan kelebihan.

Melepaskan gol terlebih dahulu kepada Indonesia sudah pasti akan menyukarkan Malaysia sepertimana mereka mendiamkan setiap ancaman daripada Vietnam.

2. Kekuatan mental

Antara perubahan ketara pasukan Indonesia kali ini adalah kekuatan mental barisa pemainya. Perkara itu diakui sendiri oleh Shin Tae-yong yang mendedahkan bagaimana kualiti tersebut menjadi senjata utama skuad Garuda menidakkan Vietnam.

“Soal pasukan Indonesia akan menjadi juara Piala AFF, itu belum dapat dipastikan. Namun, pasukan Indonesia ini akan bekerja keras dalam setiap pertandingan dengan berfikir kami adalah calon juara,” kata Shin Tae-yong ketika mengasah mental barisan pemainnya ketika kem latihan di Turki sebelum bermulanya Piala AFF.

Shin Tae-yong juga tidak pernah merasa puas dengan penampilan pasukan Indonesia. Jurulatih dari Korea Selatan itu akan sentiasa menuntut lebih daripada pemain meskipun sudah meraih kemenangan.

Sikap ini sudah ditanamkan Shin Tae-yong sejak peringkat awal mengendalikan skuad Garuda. Barisan pemain akhirnya terbiasa dengan sikap tidak cepat puas dan selalu memotivasi diri untuk memberikan yang terbaik ketika aksi di dalam padang.

3. Corak permainan keras

Skuad Garuda di Piala AFF kali ini juga menampilkan corak permainan keras, bertujuan menyukarkan lawan mengatur gerakan.

Corak permainan keras barisan pemain Indonesia pada malam tadi tidak terlepas daripada kritikan media Vietnam.

Jumlah kad kuning dan kekasaran dilakukan.

Statistik pemainan selepas tiga perlawanan membuktikan dakwaan ini. Indonesia menjadi pasukan paling banyak menerima kad kuning jika dibandingkan dengan Malaysia dan Vietnam, iaitu sebanyak 6 layangan kad kuning.

Skuad Garuda juga memenangi 33 tackle yang dilakukan, berbanding 15 untuk Malaysia dan 16 untuk Vietnam – cukup menjelaskan corak permainan keras yang diamalkan pasukan itu di Piala AFF kali ini.

Dalam perlawanan yang berlangsung di dalam suasana tegang dan panas di mana pertemuan di antara Malaysia dan Indonesia terkenal dengan perseteruan, corak permainan keras sebegini adakalanya akan membangkitkan provokasi.

Di sini, pemain-pemain Malaysia harus bijak mengawal emosi dan situasi dan tidak terjerat dengan taktik halus pemain lawan.

Rumusan

Apa pun Indonesia bakal menjadi lawan yang cukup mencabar buat anak buah Tan Cheng Hoe nanti.

Pasukan Indonesia secara keseluruhannya telah mengalami perubahan dan tidak lagi sama seperti ketika tewas kepada pasukan negara dua tahun lalu.

Jika Malaysia mengimpikan kemaraan ke peringkat separuh akhir Piala AFF pada kali ini, tiga kualiti skuad Indonesia yang digariskan seperti di atas tidak harus dipandang ringan.

Malah berbaki tiga hari sahaja lagi, Tan Cheng Hoe dan anak buahnya perlu mewujudkan formula khas khusus untuk meneutralkan kualiti yang dimiliki oleh skuad Garuda ini.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN