Pengurus besar Liga Perancis (LFP) Didier Quillot, semalam memutuskan untuk ‘menggantung serta-merta’ penggunaan teknologi garisan gol (GLT) selepas beberapa siri kesilapan dengan sistem itu.
Keputusan itu meliputi semua perlawanan di bawah kendalian LFP, terutama Ligue 1 dan Piala Liga Perancis dan hadir berikutan dua kesilapan ketika suku akhir Piala Liga, kelmarin.
“Malangnya malam tadi GLT mengalami dua insiden serius dalam perlawanan Amiens-PSG apabila GLT tidak berfungsi terhadap jam tangan pengadil dan sebaliknya video pembantu pengadil (VAR) yang menghadiahkan gol manakala insiden kedua perlawanan Angers-Montpellier apabila GLT silap menyebabkan jam tangan pengadil bergetar,” jelas Quillot.
“Dua kesilapan ini tidak boleh diterima, terutamanya ia berlaku sebaik selepas kami memberikan notis kepada GoalControl,” katanya, menambah sistem itu kini ‘tidak boleh diharap.’
Bulan lalu LFP memberi amaran kepada GoalControl, syarikat yang membekalkan sistem GLT, kontraknya bersama liga Perancis mungkin akan ditamatkan jika masalah berterusan.
Perancis turut menguji sistem VAR dalam Piala Liga – bermula dari suku akhir – dengan kemungkinan memperkenalkannya dalam Ligue 1 musim depan.
Sistem itu turut mengalami beberapa kesilapan ketika diuji di beberapa negara sekalipun FIFA berharap menggunakan VAR pada Piala Dunia di Russia tahun ini.
Dalam bola sepak, tidak semua orang akan gemar dengan keputusan pengadil. Pengadil banyak membuat kesilapan, kata mereka.
Tetapi dalam pada masa yang sama, tidak semua juga orang yang gemar apabila bola sepak yang terlalu dikawal oleh teknologi.
Alasan mereka adalah ia akan mengurangkan drama dan emosi dalam bola sepak. Teknologi akan membuatkan bola sepak itu tidak ‘hidup’ dan seperti permainan video FIFA ataupun PES.
Teknologi Garisan Gol ataupun bahasa universalnya Goal Line Technology (GLT) telah dicadangkan sejak awal tahun 2000 lagi.
Namun FIFA merasakan perkara itu sebagai tidak perlu.
Namun selepas beberapa kontroversi yang melibatkan gol melepasi garisan gol atau tidak berlaku, FIFA menerima lebih banyak permintaan agak GLT dilaksanakan dengan kadar segera.
FIFA melambatkan proses perlaksanaan GLT sehinggalah berlangsungnya temasya Piala Dunia 2014, hampir 14 tahun selepas cadangan tersebut dikemukakan.
Setelah melihat keberkesanannya dalam Liga Perdana Inggeris, FIFA menggunakan teknologi tersebut dalam temasya Piala Dunia Rio 2014. FIFA memilih GoalControl sebagai pembekal utama teknologi tersebut.
Gol pertama yang diadili dengan GLT dalam Piala Dunia adalah cubaan gol Karim Benzema ketika Perancis menentang Honduras di peringkat kumpulan.
Gol tersebut disahkan sebagai jaringan sendiri oleh penjaga gol Honduras.
Bagaimana ia berfungsi?
Setiap teknologi garisan gol menggunakan kaedah dan sistem yang berbeza-beza. Hanya teknologi yang diiktiraf oleh FIFA sahaja boleh digunakan.
Sistem GLT adalah automatik. Isyarat gol akan dihantar serta merta kepada jam tangan khas yang digunakan oleh pengadil dalam masa 1 saat.