“Kerana mulut badan binasa”. Mungkin demikianlah peribahasa paling tepat menggambarkan keadaan yang berlaku di Itali ini. Atau mungkinkah ungkapan yang lebih sesuai adalah, “kerana suka sangat troll, pekerjaan anda berhadapan risiko untuk dipecat!”
Sebuah pasaraya yang memiliki ratusan cawangan di Itali menjadi perhatian kerana menjual barangan cendera hati ‘Rubentus’?
The Conad jual Rubentus?
The Conad – pasaraya terkenal di Itali – yang terletak daerah di Sardinian dalam wilayah Oristiano menjual kek Easter dengan label ‘Rubentus’ terpampang. Apakah maknanya perkataan Rubentus di Itali?
Sebenarnya terma Rubentus itu sendiri tidak membawa sebarang makna. Tetapi di The Conad, ia merujuk kepada kek Easter yang dijual sebagai cendera hati kelab Serie A Itali, Juventus.
Rubentus adalah perkataan gabungan untuk ‘troll’ – kuasa kewangan yang dimiliki oleh kelab dari Turin itu di kalangan penyokong bola sepak di Itali.
Ia berasal dari perkataan ‘rubare’ yang bermakna mencuri di dalam Bahasa Melayu. Dan perkataan tersebut digabungkan dengan nama kelab Turin tersebut, Juventus, yang menjadi Rubentus.
Mengapa Juventus digelar Rubentus
Sukar untuk membuktikan sebab yang sebenar. Juventus adalah salah sebuah pasukan dengan penyokong teramai di Itali. Mereka juga adalah pasukan paling berjaya di negara tersebut.
Tetapi ini tidak bermakna Juventus tidak pernah lari dari kontroversi. Misalnya, Juventus sentiasa mendapat bantuan pihak luar untuk menang – walaupun tidak bermain dengan baik (merujuk kepada skandal calciopoli pada 2006).
Ada juga cakap-cakap mengatakan Juventus turut mempengaruhi media dan wartawan sukan berpengaruh di Itali.
Skandal-skandal sebegini – walaupun kebanyakkan sekadar teori – menyebabkan Juventus digelar sebagai pencuri kepada pasukan lain di Itali.
Pasaraya terbabit kesal
Pengurus pasaraya The Conad, Antonio Contu meluahkan kekesalan beliau terhadap apa yang berlaku.
“Tanpa prejudis, tindakan sebegini telah merosakkan nama baik syarikat dan juga kelab bola sepak Juventus,” ujar Antonio Contu kepada La Stampa.
“Pekerja yang melakukan perkara ini adalah seorang pekerja yang baik, dan diambil kerja beberapa bulan yang lalu. Sudah tentu, siasatan dalaman akan dilakukan, dan tindakan akan diambil.”
Kejadian berlaku lebih kurang seminggu yang lalu. Sehingga artikel ini ditulis, tiada berita susulan yang melaporkan nasib pekerja The Conad tersebut.
Rumusan
Bola sepak tanpa ‘troll’ ada kalanya boleh menyebabkan kita bosan. Kami mempunyai pendirian tersendiri di dalam perkara sebegini. ‘Troll’ sekadar berlawak jenaka sesama rakan ituperkara biasa. Nak troll, pastikan anda gunakan saluran yang betul.
Tidak semua perkara juga harus kita troll. Ada kala, kita harus mengambil pengajaran dari sesuatu peristiwa seperti yang dikisahkan dari artikel ini.
Anda ingin troll rakan anda, pastikan anda tidak menghina. Pastikan anda tidak menjatuhkan martabat orang lain. Begitu juga tuduhan liar seperti apa yang dilakukan oleh pekerja pasaraya seperti kisah di atas. Niat beliau mungkin untuk melakukan troll. Tetapi beliau lupa akan batas yang tidak boleh dilakukannya.