Bekas pemain bola sepak profesional, Azmeer Yusof tampil dengan pendedahan terbaharu beliau mengenai kisah silam dirinya dalam dunia bola sepak profesional menerusi media sosial, Facebook.
Terbaharu, Azmeer mengaku beliau pernah ditinggalkan rakan sepasukan lain hanya kerana ingin menunaikan solat di Masjid Negara ketika itu.
Sedangkan situasi sebelum itu menyaksikan Azmeer dan rakan-rakan sedang menjamu makanan tengahari di sebuah restoran berdekatan masjid tersebut dan hanya beliau menyambut seruan azan Zohor.
“Teringat pula pernah ditinggal bas sewaktu sedang solat Zohor di salah sebuah Negara di dalam dunia ni.
“Pertama sekali ialah hukum Solat ialah Wajib. Dan perkara utama yang akan disoal Allah ialah tentang solat. Harap-harap takde lah seseorang komen normal meninggalkan solat.
“Waktu tu kami sedang menjamu selera di sebuah kedai yang terletak betul-betul di depan Masjid. Makan punya makan, azan berkumandang.
“Saya cepat-cepat habiskan makanan, bangun dan masuk ke dalam Masjid. Saya beritahu kepada beberapa orang untuk Solat sebentar, lagi pun saya nampak ramai lagi yang tak habis makan. Jadi saya yakin sempat untuk saya habiskan solat dan mereka pun ngam akan habis makan.
“Dipendekkan cerita, selesai Solat Zohor saya bergegas keluar Masjid. Keluar-keluar sahaja bas dah tiada. Seorang kenalan saya pun dah takda di kedai makan tersebut. Ah jem ! Passport semua dalam bas, dompet pun dalam bas. Betul-betul terduduk waktu tu. Sedih beb. Hanya kerana Solat ditinggalkan,” kata bekas pertahanan Kedah Darul Aman (Kedah) itu.
Pada masa sama, Azmeer turut mempertikaikan hampir semua rakan-rakannya tidak sedar beliau ketika itu sedang menjalani ibadah solat sebelum mereka meninggalkannya berseorangan.
“Kat sini korang mesti nak cakap orang tak perasan yang saya tiada dalam bas kan? Ikut pada husnuzon yes boleh fikir begitu. Tapi dalam bas hampir 40 orang, takkanlah seorang pun tak perasan? Dan takkanlah yang saya beritahu kepada 2 3 orang tu yang saya nak solat dorang dah lupa? Haa…..
“Ok settle bas dah berlalu pergi. Saya termenung jap kat tangga Masjid tu sambil-sambil menikmati keindahan Masjid luar Negara.
“Dalam masa yang sama saya cuba ingat jalan balik ke Hotel. Sebab sewaktu datang kedai makan, bas hanya buat sekali sahaja u turn. Maksudnya Hotel hanya beberapa KM.
“Jalan punya jalan sampai berpeluh ada satu van berhenti. Berpeluh sebab Negara tu tak sejuk sangat.
“Pemandu van tanya nak pergi mana apa semua lah. Saya sebut nama Hotel. Kemudian dia tumpangkan saya. Dalam van tersebut saya ditanya kenapa jalan kaki.. Hotel untuk dituju agak jauh dari Masjid tersebut. Saya beritahu saya datang dengan bas, tapi ditinggalkan. Pemandu van tu geleng kepala sambil cakap bahasa dia. Saya pun tak faham apa dia mengarut.. Tapi reaksi macam tak setujulah.
“Sembang punya sembang dah sampai Hotel. Saya cakap tunggu jap saya nak ambil duit nak bayar pada dia. Dia cakap taknak, dia tak perlukan duit. Cuma dia nak tanya 1 soalan. Kenapa orang islam sangat pentingkan solat.
“Haaa… Korang macam mana kalau orang bukan islam tanya soalan macam ni? Saya ada jawapan saya sendiri yang saya beritahu pada dia. Semoga beliau sekarang ini sudah memeluk Islam. Aminnnn.
“Kemudian petangnya berjumpalah semula dengan semua.. Tiada seorang pun yang say sory cakap apa-apa. Tapi saya tak peduli pun. Sebab dari dulu sampai sekarang saya tak berharap pada mana-mana Makhluk melainkan Allah.
“So u guys yang nak bermula berjemaah di Masjid. Ujian pasti tiba. Tapi apabila ujian tersebut dapat di atasi, in syaa Allah walau hujan ribut melanda, korang tetap akan usaha untuk berjemaah di Masjid juga.
“Dengan apa yang berlaku di Luar Negara tu, banyak saya dapat lihat. Salah satunya ialah ada orang yang tak solat tapi hormat pada orang yang solat. Ada orang yang tak solat, dan tak hormat pun pada orang yang solat.
“Pembelajaran yang saya dapat ialah Solat menjadi ‘ Jenayah ‘ untuk orang sekeliling yang tidak mengutamakan Solat,” ulas Azmeer lagi.
Pendedahan Azmeer sebelum ini turut mendapat perhatian ramai apabila beliau mengaku pernah menjadi mangsa buli ketika awal pembabitan dalam dunia bola sepak profesional di Malaysia.
Malah, cerita Azmeer itu turut mendapat perhatian ramai netizen serta ada pemain profesional sendiri kurang berpuas hati dengan apa didedahkan bekas pemain Kuala Lumpur City (KL City) itu.