Quantcast

BERITA

Kerana Nombor 32, Wayne Rooney Dikecam Ramai

Wayne Rooney secara rasminya telah dimasyhurkan selaku pemain dan jurulatih bersama Derby County. Rooney akan ke Pride Park pada tingkap perpindahan Januari hadapan.

Namun, namanya telah terpalit dengan satu isu yang menimbulkan tanda tanya ramai.

Kerana nombor

Mungkin bagi anda atau sesetengah orang lain, ia bukanlah isu besar. Tetapi apabila Derby memberikan jersi nombor 32 kepada Rooney, ia telah mengheret satu kecaman.

Ini kerana kelab EFL Championship itu telah ditaja oleh syarikat perjudian 32Red. Malah, ada cakap-cakap mengatakan mereka yang terlibat itu telah memanipulasi peraturan khas.

Peraturan khas yang dimaksudkan ialah sebarang jenama syarikat perjudian tidak boleh diletakkan pada jersi yang dikhaskan kepada kanak-kanak.

Malah, syarikat perjudian itu bermati-matian mempertahankan diri daripada tuduhan itu. Kata mereka, mereka langsung tidak mempengaruhi tindakan Derby memberikan Rooney jersi bernombor 32.

Tidak sengaja atau kebetulan?

A Derby County wearing a Wayne Rooney number 32 kit during the Sky Bet Championship match at Pride Park, Derby. (Photo by Mike Egerton/PA Images via Getty Images)

Memang impak besar ditinggalkan oleh syarikat perjudian ini kepada masyarakat Britain. Ia diakui sendiri oleh seorang pensyarah ketika ditemuramah Perbadanan Penyiaran Britain.

Pensyarah yang dimaksudkan, Dr. Dan Plumley. Plumley mengatakan ia isu moral yang besar dan masih berkaitan dengan etika. Plumley mempersoalkan adakah kelab-kelab bola sepak ini mempunyai rasa tanggungjawab untuk menolak peluang tajaan daripada syarikat perjudian.

Adams pun melenting

Tony Adams, mantan kapten England juga menyuarakan agar tajaan syarikat perjudian hendaklah dihentikan. Musim ini, 16 kelab EFL Championship dikatakan telah menerima tajaan daripada syarikat perjudian ini.

Malah pada tahun lalu, BBC turut mendedahkan syarikat perjudian banyak menaja pasukan yang beraksi dalam Liga Perdana Inggeris.

Adakah anda bersetuju industri perjudian diharamkan untuk menaja acara sukan terutamanya bola sepak? Tinggalkan di ruangan komen.