Isu ego melibatkan pemain-pemain Paris Saint-Germain (PSG) masih lagi tidak menunjukkan tanda-tanda untuk hilang.
Terbaharu, satu lagi petanda telah wujud apabila melibatkan pemain Kylian Mbappe dan juga Neymar dalam aksi perlawanan UEFA Champions League (UCL) menentang Juventus.
Dalam perlawanan tersebut, PSG menang 2-1 hasil jaringan berganda Mbappe pada minit ke-5 dan ke-22 sambil Weston McKennie menghadiakan gol untuk pelawat.
Tamak haloba
Dalam satu video yang tular, kelihatan Mbappe yang sudah menjaringkan dua gol berada dalam misi untuk memburu hatrik.
Namun begitu, dek kerana terlalu dahagakan kejayaan peribadi, Mbappe sanggup mengabaikan semangat berpasukan sesama rakannya.
Dalam rakaman tersebut, PSG mempunyai peluang untuk menyerang balas serangan Juventus pada minit ke-50.
Selepas Lionel Messi berjaya mengeluarkan PSG dari keadaan bahaya dan menukar momentum kepada serangan mereka, beliau menghantar bola kepada Mbappe.
Mbappe yang menyerang dari sebelah kanan masuk ke dalam kotak penalti Juventus sambil pemain itu dihalang seorang pertahanan lawan dan penjaga gol yang sudah sedia menanti.
Sudut Mbappe sudah semakin tertutup dan sukar untuk menjaringkan gol, lalu Neymar datang dari sebelah kiri untuk memberikan pilihan untuk pemain tersebut menghantar bola.
Walaupun mempunyai pilihan, tetapi Mbappe memilih untuk tidak menghantar bola kepada Neymar lalu merembat bola itu yang kemudiannya singgah ke sisi jaring.
Reaksi Neymar selepas itu cukup menggambarkan kekecewaan dalam dirinya kerana beliau ingin membantu pasukan.
Sebaliknya, ‘pemilik’ kelab PSG ini lebih dahagakan kejayaan peribadi lalu tidak mengendahkan rakan sepasukannya.
Sebelum ini, angin bertiup kencang mengatakan yang Mbappe tidak menyukai Neymar dan mahukan pemain Brazil itu disingkirkan daripada kelab.
Namun sehingga kini, Neymar masih kekal di Perancis.