Siapa sangka penyerang yang cukup cemerlang bersama pasukannya sebelum ini, secara tiba-tiba ‘terpinggir’ dan akhirnya terpaksa mengangkat kaki pada pertengahan musim. Itulah yang berlaku kepada Paco Alcacer yang telah menyertai Villareal dari Borussia Dortmund.
Penyerang Sepanyol itu kembali ke saingan La Liga selepas mengikat kontrak bersama The Yellow Submarine dengan kontrak selama lima setengah tahun.
Sejak ketibaan penyerang muda sensasi, Erling Braut Haaland dari Red Bull Salzburg, Alcacer tidak diturunkan dalam kedua-dua perlawanan dan ia mungkin petanda jelas beliau tidak lagi diperlukan oleh Lucien Favre.
Gracias, Paco 💛pic.twitter.com/uTde8dj3I6
— Borussia Dortmund (@BlackYellow) January 30, 2020
Sedangkan pemain berusia 26 tahun itu telah pun menjaringkan 23 gol dalam 37 penampilan untuk Dortmund dalam semua pertandingan sejak tiba dari Barcelona pada 2018. Pada musim lepas, beliau merupakan penjaring kedua terbanyak Bundesliga di belakang Robert Lewandowski.
Pengarah kelab, Michael Zorc dalam kenyataannya sebelum perpindahan tersebut selesai memaklumkan ianya satu keputusan yang tidak mudah untuk dibuat.
“Kami telah menukar formasi kepada 3-4-1-2 dengan Jadon Sancho dan Thorgan Hazard diletakkan di bahagian serangan. Kemudian kami membawa masuk Erling Haaland. Jadi kami buntu bagaimana beliau [Alcacer] mampu berperanan lebih baik.” kata Zorc.
Once a Borussia, always a Borussia 💛 pic.twitter.com/sqxoC5U1TK
— Borussia Dortmund (@BlackYellow) January 30, 2020
Media tempatan melaporkan nilai perpindahan yang dibayar oleh Villareal adalah sebanyak €25 juta menjadikan ianya rekod kelab tersebut.
Alcacer memulakan karier profesionalnya bermula dengan akademi Valencia sebelum menembusi skuad utama pasukan tersebut. Dengan rekod jaringan yang menakjubkan, beliau telah dipancing Barcelona pada 2016, namun gagal mencipta sebarang impak di Nou Camp.
Alcacar kemudian dipinjamkan ke Dortmund pada 2018 dan dibeli secara tetap pada musim berikutnya.
Kredit Foto: Villareal CF