Semalam, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah mengumumkan yang cabaran Malaysia di kelayakan Piala Asia B-23 akan digalas oleh skuad B-20 negara.
Di saat semua ternanti-nanti nama-nama pemain yang bakal menyertai skuad B-22 negara yang dikendalikan sementara oleh S. Balachandran, secara tiba-tiba FAM mengesahkan yang skuad kendalian Brad Maloney yang bakal dihantar ke Mongolia.
Malaysia telah diundi bersama Thailand, Laos dan Mongolia dalam Kumpulan J dan semua aksi kelayakan akan berlangsung di Mongolia. Melihatkan situasi ini, Malaysia sebenarnya berpeluang cerah untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2022.
Jika skuad B-22 dihantar, ramai pemain muda yang sudah meraih minit permainan di saingan Liga Malaysia boleh dipanggil. Menurut statistik daripada OptaJ, seramai 58 pemain berusia 23 tahun dan ke bawah telah diberi peluang bermain di liga.
11 Pemain Yang Wajar Ada Dalam Skuad Kelayakan Piala Asia B-23 https://t.co/dzvISQeoWV
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) July 4, 2021
Pengarah Teknikal FAM, Datuk Ong Kim Swee yang menjawab kepada persoalan mengapa skuad B-20 yang dihantar telah berkata yang ini merupakan projek jangka panjang yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa Eksekutif FAM sebelum ini.
“Kelompok pemain ini [skuad B-20] akan kita sediakan lebih awal bermula tahun ini bagi menghadapi dua kitaran pusingan kelayakan iaitu Kelayakan Piala Asia B-23 2022 pada Oktober ini dan Kelayakan Piala Asia B-23 2024 pada tahun 2023.
“Selain [mereka disediakan untuk] dua edisi Sukan SEA iaitu di Vietnam dan di Kemboja pada 2023,” tegas Kim Swee dalam kenyataan yang dikeluarkan FAM, semalam.
Skuad B-20 negara juga dipilih seiring dengan pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2024 Paris, yang mana barisan pemain yang sama perlulah dipersiapkan ke arah itu.
Harith Haikal: Kini Hanya Tinggal Peluang Ke Piala Dunia 'Senior' https://t.co/HX5zVR8xXR pic.twitter.com/LWnTRgq9zB
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) December 27, 2020
Skuad kendalian Brad Maloney ini kempunan untuk beraksi di pusingan akhir Piala Asia B-19 yang sepatutnya berlangsung di Uzbekistan pada Mac lalu tetapi telah dibatalkan akibat penularan pandemik COVID-19 yang makin membarah di seluruh dunia.
Pembatalan kejohanan tersebut juga seiring dengan pembatakan Piala Dunia B-20 dan menyaksikan generasi mereka tiada peluang beraksi di saingan tertinggi dunia.
Mereka layak selepas menjuarai saingan kelayakan Kumpulan G dengan mengumpul 12 mata, mengatasi Kemboja, Thailand, Brunei dan Kepulauan Northern Mariana.
Edisi sebelum itu menyaksikan Malaysia menamatkan saingan di pusingan akhir di kedudukan tercorot Kumpulan D, dengan hanya meraih satu mata hasil keputusan seri menentang Tajikistan. Turut satu kumpulan ketika itu Arab Saudi dan China.
Jadi, ini peluang skuad ini untuk mara ke pusingan akhir Piala Asia B-23 sebagaimana yang mereka cipta ketika mara ke pusingan akhir Piala Asia B-19 yang lalu.
Never doubt! Well done again @Bradleymaloney and the entire 🇲🇾 coaching staff. Also not forgetting the players who gave their all. #BELIEVE #AFCU19 pic.twitter.com/2B1cuF5sVK
— OKS (@OKS_Rhinos) November 10, 2019
Melihat kepada perancangan Kim Swee terhadap skuad tersebut, ia dilihat satu matlamat dan sasaran yang jelas. Skuad yang dibarisi kebanyakkan bekas pemain Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu berpeluang terlibat dalam aksi-aksi kompetitif.
Pemain-pemain seperti Luqman Hakim Shamsudin, Umar Hakeem, Harith Haiqal dan Aiman Afif adalah antara bintang utama skuad ini. Namun, untuk melihat kelibat Luqman Hakim mungkin sukar kerana ia tidak termasuk dalam kalender FIFA.
Dengan akan terlibat dalam empat kejohanan kompetitif, ia satu pendedahan yang baik buat skuad ini. Namun, pemain-pemain yang terlepas tiket untuk bersama skuad ini seperti yang berusia 22 tahun ke atas akan kehilangan aksi kompetitif antarabangsa.
Dan jika ini berlaku, akan terdapat sedikit jurang dalam persediaan mereka untuk bersama skuad senior. Oleh itu, pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe perlu mula memberikan ruang dan peluang buat mereka untuk bersama Harimau Malaya.
Pemain seperti Hakimi Abdullah, Nik Akif Syahiran (Terengganu FC), Azmeer Aris dan Quentin Cheng (Penang FC) sudah kehilangan tempat untuk mereka mempamerkan kemampuan dan memburu pengalaman antarabangsa yang ditagih oleh Cheng Hoe.
Baca lagi artikel lain mengenai bola sepak tempatan dan antarabangsa:
Kelayakan AFC B-19: Jaringan Jarak Jauh Luqman Hakim Bantu Malaysia Tewaskan Kemboja 5-4
Pengalaman Di Luar Negara, Dorongan Jurulatih Jadikan Pemain AMD Yakin Di Hadapan Kamera
Euro 2020: Mampukah England Lepasi Halangan ‘Tembok Chiellini-Bonucci’