Keputusan samaada Liga Malaysia (Liga M) akan bersambung semula selepas ditangguh sejak 16 Mac lalu akan diketahui hari ini atau mungkin pada Jumaat.
Itu adalah pengumuman Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.
Begitupun, terdapat juga pendapat yang mahukan agar pertimbangan dibuat selepas beberapa minggu lagi apabila melihatkan tren graf COVID-19 semakin menurun pada ketika ini. Ia agar keputusan yang dibuat nanti dilihat tidak tergesa-gesa.
Ismail memaklumkan yang pihaknya telah menerima permohonan rasmi daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menyambung semula Liga M dan isu ini akan dibincangkan dalam mesyuarat yang akan dilangsungkan pada hari ini.
Beberapa hari yang lalu, Menteri Kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah memaklumkan mengenai kebenaran untuk semua sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi ketika PKP diberi kebenaran beroperasi pada kapasiti penuh tanpa sekatan.
Namun, kebenaran itu bagaimanapun tertakluk kepada kewajipan mematuhi syarat prosedur operasi standard (SOP) yang ditetap bagi sektor masing-masing.
Jadi, kemungkinan Liga M juga bakal diberikan kebenaran kembali beraksi mengikut SOP yang perlu ditetapkan oleh FAM dan juga Liga Bolasepak Malaysia (MFL) selaras dengan arahan keselamatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Saya ada menerima surat [permohonan rasmi] daripada Kementerian Belia dan Sukan [KBS], yang meminta pihak kami untuk membuat keputusan dan ketetapan mengenai Liga M, samaada ianya boleh dilangsungkan semula ataupun tidak.
“Sebagaimana yang saya telah maklumkan sebelum ini, ianya tidak boleh terlalu cepat [disambung semula], jadi persoalannya adalah bila?” ujar Ismail dalam sidang media.
“Semua ini bakal dibincang dalam mesyuarat esok [hari ini]. Jika saya tidak umumkan keputusan mengenainya esok, mungkin akan umum pada Jumaat,” tambahnya lagi.
Selasa lalu, Ismail mengumumkan kerajaan bersedia untuk membenarkan Liga M bersambung semula selepas PKP ditamatkan nanti dengan perlawanan dilangsung tanpa penyokong dan akan bermula selewat-lewatnya pada November depan.
Beberapa negara yang sedang melalui situasi pandemik COVID-19 yang lebih buruk berbanding Malaysia kini dilihat sudah mula membenarkan untuk liga domestik mereka untuk kembali bersambung seperti di Korea Selatan, Itali dan Jerman.
Namun, terdapat juga negara yang telah menamatkan saingan liga musim ini dengan juara ataupun tanpa juara liga seperti di Belgium, Belanda dan terbaru Perancis.
KREDIT FEATURED IMAGE: ARENA HIJUKUNING