Menteri Sukan Itali Saran Tamatkan Serie A Musim Ini

Serie A Juventus

Menteri Sukan Itali, Vincenzo Spadafora berpendapat agak sukar untuk melihat saingan Serie A disambung semula disebabkan pandemik COVID-19 masih belum pulih sepenuhnya di negara itu.

Dalam satu tembual dengan penyiar berita tempatan, La7, beliau menyarankan kepada semua kelab Serie A supaya terus menumpukan persiapan untuk musim hadapan dan mengikut jejak Perancis untuk menamatkan terus saingan liga musim ini.

Semua pertandingan sukan di Itali telah ditangguhkan sejak 9 Mac sebagai sebahagian daripada usaha untuk memutuskan rantaian penularan wabak tersebut yang telah pun mencecah lebih 200,000 kes positif dengan lebih 27.000 kematian telah direkodkan di negara itu.

Perancis, Belanda dan Belgium adalah di antara negara Eropah yang sudah pun mengumumkan penamatan liga domestik masing-masing, sementara Liga Perdana Inggeris (EPL), Bundesliga dan Serie A merancang untuk melengkapkan baki saingan musim ini.

“Keputusan di Perancis dan Belanda itu boleh menjadi sebab untuk Itali menuruti jejak langkah mereka yang akan selari dengan negara-negara Eropah yang lain,” kata Spadafora.

Perdana Menteri, Giuseppe Conte pada hujung minggu lepas bahawa semua sukan termasuk bola sepak boleh kembali menjalani latihan bermula 18 Mei ini.

Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC) telah pun merangka prosedur operasi standard (SOP) dan protokol untuk menunjukkan peraturan dalam menjalani latihan, tetapi Spadafora berkata, pakar dan penasihat kerajaan melihat langkah tersebut tidak mencukupi dan perlu perbincangan lebih lanjut.

“Dibenarkan untuk menjalani latihan bukan bermaksud dibenarkan untuk menyambung semula musim ini. Saya faham mungkin ada sebahagian orang yang berkata keputusan ini tidak jelas. Apa kamu tidak nampak di negara ini kerajaan telah menutup dan melarang semua aktiviti?

“Saya tidak nampak ada jalan untuk menyambung semula Serie A. Sekiranya saya adalah salah seorang presiden kelab, saya akan fokus kepada musim depan.

“Adakah kita betul-betul yakin mampu untuk membuat ujian saringan untuk semua yang terlibat? Protokol ini mestilah terpakai kepada semua pasukan dan juga liga bawahan yang belum tentu semuanya ada sumber [kewangan] yang cukup untuk melaksanakannya.

“Saya tidak nampak musim ini boleh disambung pada pertengahan Jun. Dari sekarang sehingga tarikh itu ada satu setengah bulan lagi. Kita boleh berharap keadaan di negara ini akan bertambah baik, tetapi kita masih tidak pasti.

“Jadi saya harap FIGC dan Serie A boleh fikirkannya.”

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Serie A:

Leave a Reply