Tugas berat sedang menanti skuad Kedah dalam aksi Piala Malaysia malam ini apabila mereka dijadualkan bertemu MIFA di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ.
3 mata penuh wajib dikutip jika mereka berhasrat mahu melangkah ke suku akhir dari kumpulan C walaupun sedar MIFA bukanlah pasukan yang boleh dipandang mudah.
Presiden Kelab Penyokong Bolasepak Kedah Darul Aman (KEPDA), Nor Asmadi ketika diminta mengulas mengenai prestasi Helang Merah berkata kepada Berita Harian, Kedah mampu meraih kemenangan malam ini berdasarkan prestasi mereka ketika menundukkan MIFA 3-2 di Darul Aman minggu lepas.
“Semangat yang ditampilkan pemain Kedah agak berlainan jika dibandingkan dengan persembahan dalam dua perlawanan ketika bertemu Kelantan dan JDT.
“Ini memperlihatkan kita mempunyai kesungguhan untuk bangkit selepas gagal mencipta kemenangan ketika aksi bertemu Kelantan dan Johor Darul Ta’zim (JDT) sebelum ini.
“Kemenangan pertama menewaskan MIFA Sabtu lalu juga menjadi ‘turning point’ dan kami yakin Kedah kini kembali memberi saingan yang kini dilihat masih terbuka.
“Kami tetap berbangga walaupun Kedah turun tanpa beberapa pemain utama minggu lalu dengan menyaksikan Khairul Helmi, Andik Vermasyah, Paulo Rangel dan Akram Mahinan tidak dapat beraksi namun pasukan masih mampu bangkit melakar kemenangan,” katanya.
Beliau juga yakin dengan kemampuan pengendali sementara, Azzmi Ab Aziz untuk mencipta kejutan kerana MIFA pasti akan bermain mati-matian untuk mengalahkan mereka malam ini.
“Pada perlawanan seterusnya malam ini, MIFA pasti tidak akan memberi laluan mudah dan berusaha mencipta kemenangan di tempat sendiri dan buat pemain pemain Kedah, kami mendoakan kejayaan seterusnya dan tidak kira siapa yang berada pada kesebelasan utama.
“Apa yang penting adalah perancangan terbaik jurulatih serta beraksi sebagai satu pasukan,” katanya.
Selepas 3 perlawanan, Kedah kini mengutip 4 mata selepas mencatat 1 kemenangan dan 1 seri. Kemenangan ke atas MIFA malam ini mampu melonjakkan kedudukan mereka ke tangga teratas dalam kumpulan dengan 7 mata.